ROMPIN – Gerak hati untuk berlegar-legar serta membuat pusingan kali kedua dengan motosikal di Pusat Pertumbuhan Desa Tanjung Gemok memberi jawapan di luar jangkaan kepada seorang ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) di sini.

Kassim Abd Manap. 57, yang melalui kawasan tersebut sekitar jam 10 pagi memberitahu, terkejut apabila melihat lebih 20 naskhah al-Quran telah dibuang di kawasan pembuangan sampah haram.

Sebelum memastikan penemuan tersebut, beliau pada mulanya tidak sedap hati apabila melihat terdapat kain kuning di kawasan pembuangan sampah haram itu dan berhenti untuk melihatnya dengan lebih dekat.

“Kebiasaannya saya akan melalui kawasan tersebut hanya sekali sahaja tetapi pagi semalam tergerak hati untuk pusing kali kedua  dan ketika itu baru saya nampak kain kuning lalu timbul rasa pelik dan mahukan kepastian dan cuba melihatnya dengan lebih dekat.

“Bila saya menghampiri kain kuning itu, saya nampak longgokan buku tetapi pada mulanya tidak perasan itu adalah al-Quran. Saya cuba melihat dengan lebih dekat untuk memastikan ia buku apa, terkejutnya saya bahawa ia adalah longgokan lebih 20 naskhah al-Quran dan surah Yasin,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang berasa tidak sedap hati dengan penemuan tersebut terus menghubungi Biro Keselamatan JKKK Tanjung Gemok, Noor Azhar Abu Bakar, 50, untuk memaklumkan mengenai hal itu.

“Saya kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab sebegini yang seolah-olah menghina kesucian al-Quran kerana al-Quran yang dibuang itu telah bercampur dengan botol arak yang turut dibuang di kawasan itu.

“Dalam keadaan negara yang menghadapi pelbagai isu ini, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan sebegini. Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada pasukan Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Rompin yang segera bertindak.

Dalam pada itu, Azhar yang turut sama mengutip al-Quran berkata apa yang terjadi akan menjejaskan imej orang Islam itu sendiri.

“Kenapa orang Islam sekarang begitu mengambil ringan isu begini kerana dengan mudah membiarkan al-Quran dibuang begitu sahaja sedangkan ia adalah kita suci yang patut kita pertahankan darjatnya,” katanya.

Menurut Azhar lagi, beliau berharap kes seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang kerana ia akan memalukan agama Islam atas tindakan orang Islam itu sendiri.

Paid ambil tindakan susulan

Sementara itu, Timbalan Kadi Daerah Rompin, Mohd Nor Senawi yang ditemui ketika mengetuai pasukan Penguatkuasa Paid Rompin yang melakukan siasatan di lokasi kejadian melahirkan rasa kecewa dengan penemuan tersebut dan menegaskan tindakan susulan akan diambil.

Menurutnya, perbuatan membuang naskhah al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya adalah satu penghinaan kepada kitab suci al-Quran dan agama Islam itu sendiri.

“Sepatutnya al-Quran yang sudah lusuh dan mahu dilupuskan perlu dibakar dan abunya ditanam atau buang ke laut. Kebiasaannya ia akan dihantar ke Paid sebelum dihantar ke ibu pejabat Jabatan Agama Islam Pahang untuk proses pelupusan.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan terperinci mengikut enakmen yang ada dan kemungkinan tumpuan siasatan adalah kepada sebuah premis berhampiran yang menempatkan sejumlah pelajar Islam. Ini kerana al-Quran lusuh yang dibuang itu turut ditulis nama yang kemungkinan nama pemiliknya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memohon maaf kepada umat Islam susulan kesilapan terjemahan pada al-Quran yang diedarkan Yayasan Felda Julai tahun lalu.
  • ALOR SETAR - Polis membuka tiga kertas siasatan berhubung kes pembakaran cebisan ayat al-Quran dalam tong pembakaran di sebuah medan selera dekat Pasar Besar Alor Setar, baru-baru ini.