BANTING - Seorang pekerja kapal tunda yang dipercayai terjatuh ketika sedang bermain bola di atas dek kapal tersebut dalam kejadian di Jeti Seri Tamar, Jalan Bandar Lama, di sini, dua hari lalu, ditemui hari ini.

Mangsa dikenali Mohd Fitry Moradzi berusia 28 tahun ditemui kira-kira jam 1 tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa rakan sekerjanya sedang bermain bola di atas kapal tersebut sebelum bola tersebut melantun ke bahagian tepi.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berlari mengejar bola itu sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

"Kawan-kawan mangsa menunggu di atas kapal tetapi mangsa tidak timbul dan usaha mencari mangsa gagal ditemui.

"Seterusnya rakan mangsa telah ke Balai Polis Telok Panglima Garang untuk membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, susulan itu, polis dengan bantuan pihak bomba serta beberapa orang nelayan telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan yang dikatakan mangsa telah terjatuh.

Katanya, kira-kira jam 1 tengahari tadi, mangsa telah dijumpai oleh seorang nelayan di jarak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian. Pihak bomba berjaya menarik keluar mangsa dari sungai dan mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

"Kematian mangsa telah disahkan sebagai mati lemas," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :