KULAI – “Betapa pilunya hati saya selepas mendapat khabar dua adik lelaki saya  ditembak oleh tentera Myanmar yang zalim di Arakan pada bulan lepas,” cerita Mohamed Shafie Habe, 56.

Mohamed Shafie memberitahu, lebih malang lagi, selepas dibunuh, mayat kedua-dua adik lelakinya itu kemudiannya dibakar.

Selepas keganasan demi keganasan dilakukan ke atas masyarakat muslim Rohingya, dia semakin bimbang kerana sudah tidak dapat menghubungi kaum keluarganya yang masih tinggal di Arakan itu lagi.

“Mereka (tentera Myanmar) memang sangat zalim. Ketika saya tinggal Arakan, kedua-dua adik saya masih kecil lagi dan kami hanya berhubung melalui telefon dan media sosial sahaja.

“Tetapi bila saudara maklum mereka sudah mati kena tembak, sedihnya. Kini, saya bertambah sedih apabila saudara-mara yang lain sudah gagal dihubungi.

“Saya bimbang dan khuatir dengan nasib menimpa mereka. Sudahlah kebanyakan rumah mereka telah dibakar dan dimusnahkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamed Shafie turut mengakui beberapa saudara perempuannya turut menjadi mangsa kerakusan nafsu tentera Myanmar.

“Saya dapat tahu juga, ada saudara perempuan saya turut dirogol. Kalau wanita lain yang cantik juga mereka akan rogol,” katanya.

Ketua Masyarakat Rohingya di Kulai itu memberitahu, dia bersama isterinya serta seorang anaknya datang ke negara ini 31 tahun lalu.

“Lima ahli keluarga saya termasuk ayah dan abang bekerja sebagai polis di Myanmar, namun mereka ditindas dan tidak diberi peluang kenaikan pangkat walaupun mempunyai pelajaran yang tinggi.

“Semasa di Arakan, saya hanya bekerja kampung, ketika itu masyarakat Rohingya sememangnya telah dizalimi, tetapi tidak seteruk sekarang. Saya nekad bersama keluarga melarikan diri ke Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih selesa.

“Saya bersyukur dapat bersama isteri dan tiga anak saya di sini. Saya bekerja sebagai pemandu untuk menyara keluarga, namun setiap hari saya sangat sedih bila mengenangkan nasib yang menimpa keluarga di Arakan,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Yaakob, 41 turut bimbang dengan nasib menimpa bapa saudara dan sepupu kerana sejak sebulan lepas gagal dihubungi.

“Ibu saya masih berada di Myanmar dan dijaga oleh kakak tetapi menetap di kampung yang jauh dari Arakan. Ibu beritahu keluarga yang tinggal di Arakan sudah tidak dapat dihubungi.

“Saya hanya mampu berdoa agar keluarga saya tidak menjadi mangsa tentera Myanmar yang zalim itu. Pelbagai kekejaman telah dipaparkan di media sosial menyebabkan hati saya juga tidak keruan, namun syukur saya berpeluang meneruskan hidup di Malaysia bersama suami dan empat anak,” katanya.

Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang datang ke negara ini sejak 16 tahun lalu dan bekerja sebagai tukang cuci memberitahu, dia sudah tidak mahu kembali ke negara asalnya.

“Ketika di Myanmar saya menjual pinang dan sireh, tetapi itupun susah hendak makan untuk tampung hidup. Setelah saya datang Malaysia sejak 2001, pelbagai pekerjaan saya lakukan termasuk bekerja di kedai makan dan menjadi tukang jahit, tetapi saya dapat makan.

“Kalau rasa rindu dengan ibu dan kakak, saya hanya membuat panggilan video dengan mereka. Mereka pun faham kenapa saya sudah tidak mahu pulang ke Myanmar. Dua orang adik beradik saya juga sudah menetap di negara ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SABAK BERNAM - Sebuah keluarga etnik Rohingya di sini, hanya mampu berdoa kepada ALLAH SWT agar serangan ganas terhadap komuniti Rohingya di Myanmar dihentikan segera.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.