PERMATANG PAUH - Seorang lelaki maut selepas dikatakan bergaduh dengan adiknya dalam kejadian di Kampung Sama Gagah di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi, mangsa, Lim Poh Hau, 59, dikatakan datang ke rumah adiknya dengan menaiki sebuah motosikal sebelum berlaku pertengkaran mulut di pekarangan rumah berkenaan.

Difahamkan, berlaku pergelutan diantara mereka sebelum mangsa dikatakan rebah berhampiran dengan motosikalnya dan tidak sedarkan diri.

Menurut saksi yang enggan dikenali berkata, isteri suspek yang melihat pergelutan itu segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, ketika anggota polis sampai, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia.

"Adik mangsa yang berusia 48 tahun masih berada di kawasan rumah berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat punca pertengkaran mereka sehingga berlakunya pergelutan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.