ALOR SETAR - Tembakan meriam sebanyak 89 das mengiringi keberangkatan keluar jenazah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Istana Anak Bukit untuk dimakamkan di Makam Diraja Langgar dekat sini hari ini.

Jumlah tembakan yang menandakan usia Almarhum baginda berkenaan dikendalikan Bateri ke-41 Rejimen Artileri Diraja berpangkalan di Kem Sungai Buloh.

Keranda yang membawa jenazah Almarhum baginda diletakkan di atas pedati yang ditarik dengan kenderaan khas, diiringi kaum kerabat Diraja, penghulu-penghulu mukim serta rakyat jelata.

Suasana hiba dan pilu menyelubungi kerabat Diraja serta seluruh rakyat jelata yang menyaksikan keberangkatan jenazah Almarhum baginda ke makam.

Cuaca cerah dengan tiupan angin sederhana mengiringi keberangkatan jenazah yang akan melalui Jalan Anak Bukit, Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar di sini.

Jarak dari istana ke Makam Diraja Langgar sejauh 12.4 kilometer dengan kelajuan pedati 30 kilometer sejam.

Pedati dijangka tiba di makam kira-kira 4 petang ini, disusuli istiadat pemakaman dan tahlil. –Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BALING - - “Memang saya ada kat tempat kejadian, tapi saya dan rakan duduk jauh, takut terkena meriam itu, tapi depa (mangsa) berani,” kata Mohd Naim Kamal Arifin, 16, rakan kepada Aiman Amzar Jamsari, 13, dan Mohd Hanif Mohd Nawi, 14, yang cedera akibat terkena mercun buatan sendiri malam kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.