7 Mei sebutan kes Dr Soeraya
$entry.content.caption.value

SEREMBAN – Mahkamah Seksyen Seremban di sini, semalam, menetapkan 7 dan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan bicara bekas Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham atas empat tuduhan berkaitan pemalsuan dokumen kenaikan gred jawatan, sejak tiga tahun lalu.

Hakim Datin Nursinah Adzmi turut memerintahkan pihak pembelaan menyerahkan dokumen diperlukan kepada pihak pendakwaan sebelum tarikh perbicaraan bermula.

Dr Noor Soeraya, 39, hadir di mahkamah kira-kira 9.30 pagi dengan memakai blaus coklat sambil diiringi peguambela, Syed Fadhil Syed Othman.

Mengikut pertuduhan utama, tertuduh didapati menyerahkan dokumen palsu kepada pembantu tadbir jabatan terbabit yang mengandungi butiran palsu iaitu arahan kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan tertuduh bagi tujuan penyelarasan gaji dan elaun, masing-masing pada 16 Mac 2009, 5 Januari 2010 dan 2 Julai 2010.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fairuz Johari; manakala tertuduh diwakili dua peguambela, Muhamad Faiz Fadzil dan Syed Fadhil.

Pada 17 Januari lalu, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Datin Nursinah.

Mahkamah sebelum ini membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selepas dikurangkan daripada kos jaminan sebanyak RM20,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan bagi kesemua pertuduhan.

Sementara itu, semalam, Dr Noor Soeraya kelihatan menutup mukanya dengan selendang bagi mengelak wajahnya dirakam jurugambar media yang sudah menunggu seawal 9 pagi lagi.

Tertuduh juga bertindak menjauhkan diri daripada pemberita dengan memasuki kamar mahkamah melalui pintu tepi serta bertindak keluar menggunakan pintu yang sama.

Soeraya meninggalkan mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi bersama kedua-dua peguambelanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.