ALOR SETAR - Lima laporan polis dibuat oleh kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) di Ibu Pejabat PolisDaerah (IPD) Kota Setar hari ini mendakwa wujud pecah amanah di bawah kepimpinan Rektornya, Profesor Datuk Dr Jamil Osman.

Kehadiran kelima-lima orang kakitangan Insaniah di IPD Kota Setar, kira-kira jam 2 petang itu turut diiringi beberapa rakan lain.

Sinar Harian difahamkan, laporan berkenaan dibuat berikutan rasa kesal dan tidak puas hati mereka di atas tindakan institusi itu yang gagal membuat pembayaran wang pekerja kepada beberapa agensi kewangan yang berkenaan walaupun pemotongan dalam slip gaji sudah dilakukan.

Agensi kewangan yang terlibat termasuk Bank Muamalat, Bank Rakyat dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Menurut sumber, tindakan Insaniah itu mengakibatkan sebahagian besar kakitangannya menanggung beban seperti caj kelewatan bayaran yang dikenakan bank, malah terdapat sebahagian pekerja menerima surat amaran peguam untuk diambil tindakan mahkamah.

"Rujukan sudah dibuat dengan agensi kewangan yang terlibat dan dimaklumkan bahawa terdapat tunggakan untuk tempoh beberapa bulan. Justeru laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan berhubung perkara ini dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pada 20 Mei lalu, satu memorandum turut dihantar kepada Rektor menuntut agar bayaran terhadap semua tunggakan dilangsaikan segera namun tiada tindakan yang diambil sehingga ke hari ini.

Malah, Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan bahawa satu lagi memorandum diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menuntut agar pihak pengurusan Insaniah menjaga kebajikan kakitangan, khususnya mengenai aspek kenaikan gaji, kenaikan kadar bantuan sara hidup yang ditangguhkan pelaksanaannya, serta kemudahan ketika cuti sakit.