SEPANG - Polis menahan reman 36 penuntut dari dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hari ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Sepang selepas mahasiswa tahun akhir berusia 21 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 malam di Hospital Serdang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sebelum disahkan meninggal dunia, beberapa rakan mangsa telah menghantarnya ke hospital untuk rawatan kerana mengalami kecederaan melecur dan lebam lebam.

"Tangkapan telah dijalankan ke atas 36 orang mahasiswa yg berumur 20 dan 21 tahun.

 Mereka terdiri daripada 32 mahasiswa UPNM dan empat mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (Uniten)," jelasnya.

Menurutnya siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, pegawai kadet laut tahun tiga dipercayai memiliki kesan melecur akibat ditekap dengan seterika wap di bahagian dada, tangan dan kakinya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam Twitternya menyatakan rasa sedih dengan berita kematian mangsa.

“Innalillah... sedih dan pilu pagi ini dengar berita kematian Pegawai Kadet Laut @upnm, Zulfarhan Osman bin Zulkarnain. Al Fatihah.

“Saya telah arahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan UPNM untuk jalankan siasatan dengan kadar segera. Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah, " katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.