• Mohd Khairul diiringi anggota polis selepas didakwa di mahkamah semalam. Mohd Khairul diiringi anggota polis selepas didakwa di mahkamah semalam.
1 /

BUTTERWORTH - Tiga orang kena tahan (OKT) yang melarikan diri 7 Januari lalu  bakal berhadapan hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini.

Mohd. Farid Akhtar, 24, Mohd. Shahrimy Md Noor, 28, dan Mohd. Khairul Nizam Abd Rani, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hizween Azleena Othman Kamal.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama dua OKT yang mati dan dua lagi yang masih bebas dengan niat bersama dan sengaja mencederakan seorang anggota polis, Mohd Nazzwuan Md Zain yang ditugaskan mengiringi dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth sebelum melarikan diri.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 9.45 pagi 7 Januari lalu berhampiran Jalan Susur Keluar Bagan Ajam Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama mencederakan seorang lagi anggota polis, Mohd Azizan Ahmad pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan ketiga didakwa secara bersama mencederakan seorang anggota polis, Muhammad Sharifuddin Ali juga pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Di bawah pertuduhan keempat, mereka secara bersama didakwa mencederakan seorang lagi anggota polis, T K Mahendren juga pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Untuk semua pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 322 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kKanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Tiga tertuduh itu juga menghadapi pertuduhan kelima iaitu dengan niat bersama dan sengaja lari dari jagaan pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia yang ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan jenayah yang dilakukan sebelum ini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebaik mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan semuanya diikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman.

Menurutnya, Mohd Farid mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun, Mohd Shahrimy pula mempunyai rekod jenayah berkaitan kes bunuh manakala Mohd. Khairul Nizam pernah didakwa berkaitan mencederakan orang awam.

“Jika di dalam tahanan pun mereka boleh melarikan diri, apatah lagi jika dibebaskan dengan jaminan.

“Semua OKT mempunyai rekod kesalahan yang serius dan merupakan suspek berpotensi untuk mengulangi perbuatan melarikan diri yang secara langsung akan mengancam keselamatan orang awam," katanya.

Chuin Keat juga meminta mahkamah menangguhkan hukuman kepada tarikh lain kerana pihaknya belum menerima dokumen berhubung laporan perubatan anggota polis pengiring dan fakta kes sebenar kejadian itu.

Hizween Azleena kemudian menetapkan 5 Mac ini sebagai tarikh untuk penelitian fakta dan menjatuhkan hukuman kepada semua tertuduh selain tidak membenarkan ketiga-tiganya diikat jamin.