PASIR MAS - Seorang ibu kehilangan tiga anaknya selepas mereka ditemui mati lemas ketika sedang mandi-manda di Sungai Golok di Kampung Rahmat Hilir, Rantau Panjang di sini hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, Muhammad Syahmi, 6, dan Muhammad Irfan Syahmi, 4, dihanyut arus ketika mandi di sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah ibu saudara mereka.
   
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Nasuha Fahd Ahmad Mijar berkata seramai lapan anggota dikejar ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada penduduk kampung, dan mangsa pertama, Muhammad Syahmi ditemui pada 5.20 petang.
   
"Mangsa kedua, Muhammad Irfan Syahmi ditemui pada 5.30 petang dan mangsa ketiga, Muhammad Zulhilmi pada 5.50 petang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
   
Mayat tiga beradik itu kemudian dihantar ke Hospital Lati, Pasir Mas untuk bedah siasat dan dijangka dikebumi pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Abdul Manaf Abdul Rahman, 39, berkata ketika kejadian, beliau berada di kedai berdekatan sebelum anak saudaranya yang lain memaklumkan bahawa ketiga-tiga mangsa hilang ketika mandi sungai.
   
"Saya bersama seorang rakan bergegas ke sungai dan menemui tiga pasang selipar milik ketiga-tiga mangsa. Saya kemudian buat keputusan untuk menyelam bagi mencari ketiga-tiga beradik itu.
   
"Selepas sejam menyelam, saya menemui mangsa pertama di sebuah lubuk di sungai berkenaan dengan kedalaman kira-kira tiga meter, sebelum menemui dua mangsa lain berdekatan kawasan itu," katanya.
   
Abdul Manaf berkata semua mangsa ditinggalkan bersama seorang daripada adik-beradiknya kerana ibu mereka, Nur Asyikin Abdul Rahman, 41, sedang mengikuti bengkel di Tadika Kemas Cempaka Sari, Gual Sintok di sini.
   
Ibu mangsa bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih terkejut dan bersedih dengan kejadian itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Seorang tukang cat ditemui lemas dalam tali air di Kampung Kubang Siam dekat Alor Janggus, di sini, pagi tadi.
  • KUALA KRAI - Seorang murid Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai hanya sempat bersekolah dua hari sebelum ditemui lemas di sungai berhampiran rumahnya di Kampung Gajah,Manek Urai, hari ini.
  • SEREMBAN - “Saya tidak sempat untuk beli pakaian persekolahan tambahan untuknya. Ingatkan nak tunggu dia balik ke rumah baru pergi beli (pakaian tambahan sekolah) tetapi tidak sangka dikejutkan dengan khabar yang menyedihkan ini," kata Rosli Mihat 49, bapa kepada salah seorang mangsa lemas di Sungai Pedas di Kampung Merbau 9, Muhamad Syafiq Rosli, 15.
  • REMBAU - Pasukan penyelamat kini sedang menjalankan operasi mencari tiga sekawan lelaki berusia 12 hingga 15 tahun yang dipercayai lemas di Sungai Pedas di Kampung Sungai Merbau 9, di sini, lewat petang tadi.
  • KUALA ROMPIN - Dua ​lelaki berjaya diselamatkan selepas nyaris lemas akibat ditarik ombak ketika mandi di Pantai Hiburan berhampiran Rompin Beach Resort (RBR), petang, semalam.