Pengunjung : 6138 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Pejabat Sultan dianugerah ISO

KLANG - Pejabat Sultan Selangor di Istana Alam Shah semalam mencatat sejarah menjadi pejabat pertama seumpamanya mendapat pensijilan MS ISO 9001:2008 bagi pengurusan dan pengendalian Istana daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Ia diberi untuk tiga aspek utama iaitu pengurusan hal ehwal pentadbiran dan santapan Sultan Selangor; pengurusan pentadbiran serta pengurusan adat Istiadat Istana Alam Shah.

Persijilan berprestij itu diberi setelah diaudit oleh dua pegawai SIRIM QAS International Sdn Bhd pada 23 dan 24 Disember lepas.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pensijilan ISO itu daripada Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Berhad Yahaya Ahmad pada satu majlis yang berlangsung di Istana Alam Shah di sini.

Turut hadir Datuk Pengelola Bijaya Diraja Selangor, Datuk Zakaria Abdul Rahman dan Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj.

Dalam ucapannya, Zakaria berkata dengan penganugerahan ISO itu, pentadbiran dan pengurusan Istana Alam Shah adalah setanding dengan organisasi kerajaan ataupun swasta yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa - BERNAMA