Pengunjung : 23878 Khamis 11-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Selangor alu-alukan polis buat siasatan

SHAH ALAM- Kerajaan Negeri mengalu-alukan pihak polis menjalankan siasatan berhubung isu tanah yang diperuntukkan kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, siasatan itu akan menerangkan bagaimana proses transaksi berlaku dan tanah diberikan kepada yayasan tersebut.

“Selama ini pemindahan tanah di bawah kerajaan negeri adalah tidak telus, maka ianya sering dikaitkan dengan spekulasi salah guna kuasa dan kronisme,” katanya dalam menerusi kenyataan media kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu siasatan pihak polis serta menjelaskan kesulitan transaksi dan perolehan aset.

“Meskipun YBK telah mendedahkan akaunnya, namun adalah tetap perlu untuk meneliti bagaimana tanah hak milik kerajaan itu dipindahkan kepada hak milik swasta,” katanya.

Kelmarin, permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan Sdn Bhd (PYBK), anak syarikat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) semalam membuat laporan polis terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dakwaan penyalahgunaan kuasa sebagai Menteri Besar berhubung isu tanah milik yayasan itu.

Laporan yang dibuat oleh Pengarah PYBK, Mohamed Tamin Mohd. Yusof bersama Pengerusi YBK di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pukul 10.15 pagi semalam.

Menurut Zainal, laporan itu dibuat selepas Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor memulangkan kepada PYBK cukai tanah yang telah dibayar oleh syarikat itu pada Ogos 2009 dengan cek bernilai RM1.28 juta pada 4 Februari lepas.

Oleh itu, Kerajaan Negeri akan melantik penyiasat korporat bagi memastikan hak kerajaan negeri dan rakyat Selangor dipertahankan.

“Ia selaras dengan komitmen kerajaan negeri terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.