Pengunjung : 16476 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Terkedu ketika diserbu

KEPONG - Sekumpulan kaki judi yang rata-ratanya dikategorikan warga emas terkedu apabila polis menyerbu masuk tiga premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer malam kelmarin.

Menggunakan modus operandi lazim, premis judi haram ini memaparkan papan tanda kafe siber bagi mengaburi pihak berkuasa.

Operasi yang dilakukan di deretan rumah kedai di Taman Pusat Kepong itu dijalankan oleh Unit D7 Ibu Pejabat Polis Sentul bermula jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam Ops Dadu (operasi memerangi perjudian) itu, seramai 19 orang termasuk tiga pelanggan perempuan dan tiga penjaga premis tersebut ditahan.

“Hasil operasi yang berakhir pada pukul 12.50 pagi itu, polis merampas 52 mesin judi berkomputer dan wang tunai berjumlah RM800.

“Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 60 tahun,” katanya.

Ketika serbuan dilakukan, kebanyakan warga emas sedang leka berjudi, kesibukan tersebut menyebabkan mereka tidak sempat lari dan berjaya dicekup.

Sebanyak 52 unit komputer dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian haram itu turut dirampas.

Selain pertaruhan menggunakan cip komputer, pusat judi terbabit turut menawarkan khidmat perjudian secara atas talian.

Ketiga-tiga premis yang terletak di kawasan perumahan itu dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Dalam tempoh berkenaan sebanyak empat serbuan telah dijalankan namun pengusaha terbabit tetap berdegil.

Kesemua yang ditahan dan barangan yang dirampas dibawa ke IPD Sentul untuk tujuan siasatan. Kes dirujuk mengikut Akta Judi Rumah Terbuka 1953.