Pengunjung : 25594 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Penduduk bimbang kes ragut berleluasa

BALAKONG – Penduduk Taman Sri Timah dekat sini bimbang terhadap keselamatan mereka berikutan kes ragut yang didakwa semakin kerap berlaku sejak setengah tahun kebelakangan ini terutamanya pada awal pagi.

Pemuda MCA Bahagian Serdang, Fay Lam Sang berkata, kes ragut itu biasanya berlaku pada jam 6 pagi hingga 7 pagi ketika penduduk berjalan kaki menuju ke perhentian bas dan menaiki motosikal untuk menghantar anak ke sekolah.

Katanya, bagi mereka yang menghantar anak ke sekolah dengan menunggang motosikal terpaksa membawa kayu untuk dijadikan senjata sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Aduan yang diterima daripada mangsa berkaitan kejadian ragut yang menimpa mereka mencecah sehingga 10 kes dalam masa enam bulan tetapi tidak pasti sama ada mereka membuat laporan polis atau tidak.

“Kedudukan hentian bas dan rumah kedai yang berhampiran dengan lebuh raya adalah bonus kepada peragut untuk melarikan diri selepas meragut dan mereka boleh tembus ke taman perumahan lain yang berhampiran seperti Bukit Belimbing,” katanya kepada Sinar Harian di sini.