Pengunjung : 3934 Rabu 17-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Isu Bukit Botak selesai

SELAYANG BARU – Bekas Setinggan Bukit Botak (SBB) yang berpuas hati dengan usaha menyelesaikan kemelut penempatan semula mereka sejak 20 tahun lalu bersyukur dengan pilihan yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Tanah Penempatan Semula SBB (JTTPSSBB), Satar Md Saman berkata, dia berharap semua penduduk dapat membuat pilihan daripada tiga yang ditawarkan.

Beliau berkata, pihaknya percaya kebanyakan penduduk yang terbabit bersetuju dengan cadangan yang diumumkan baru-baru ini dan tidak menafikan hanya segelintir bersikap sebaliknya.

“Saya pasti cadangan penyelesaian ini langkah terbaik. Kita berpuas hati kerana 1,422 penduduk dalam senarai SBB akan mendapat luas lot rumah sama rata iaitu 2,200 kaki persegi.

“Terima kasih kepada Menteri Besar yang mengembalikan hak kami dengan meluluskan cadangan pelan rumah dinamik dan teratur ini yang sudah lama terbengkalai,” kata Satar.

Dia berkata demikian kepada wartawan dalam satu pertemuan bersama bekas setinggan SBB, di sini.

Dalam pada itu, Satar berharap semua penduduk mengambil peluang dengan jaminan Kerajaan Negeri bahawa projek perumahan Bukit Botak akan siap dalam masa dua tahun seperti yang diumumkan.

“Bagi penduduk yang memiliki geran tanah disarankan segera berurusan dengan pihak Pejabat Tanah Gombak untuk proses pengambilan semula tanah yang akan diberi pampasan mengikut keluasan.

“Kita berharap penduduk tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba menghalang projek pembangunan ini dengan mendapatkan maklumat betul hanya dari Pejabat Tanah,” katanya.

Menurutnya, biarpun penduduk memiliki geran lot, dalam situasi Kerajaan Negeri mahu mengambil alih tanah untuk menyelesaikan isu penempatan di Bukit Botak ini, dokumen berkenaan sudah tidak lagi sah.

Untuk mengelakkan kerugian daripada tidak mendapat apa-apa katanya, lebih baik penduduk bersetuju dengan pilihan yang ada.

“Saya percaya ramai penduduk bersetuju dengan pilihan pertama yang ditawarkan iaitu didirikan rumah, tetapi kebanyakannya berharap harga RM99,000 dapat dikurangkan kepada RM90,000.

“Walaupun harga itu berpatutan, tetapi penduduk berharap ia dapat dikurangkan kerana kebanyakannya adalah golongan warga emas dan berpendapatan rendah,” katanya.

Terdahulu menurutnya, penduduk bersyukur dengan usaha Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul Samad, Jawatankuasa Pemutihan Bukit Botak, Pejabat Tanah Gombak dan semua pihak yang terlibat dalam cadangan penyelesaian isu ini.

Difahamkan sekiranya siap, nilai rumah dibangunkan dalam cadangan projek oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di kawasan Bukit Botak itu boleh mencapai sehingga RM250,000 seunit.

Selama sebulan mulai 10 Februari hingga 10 Mac ini, dari jam 9 pagi hingga 4 petang, bekas SBB boleh datang ke kaunter khas Bukit Botak di Pejabat Daerah Gombak, untuk mengambil borang bagi membuat pilihan cadangan Kerajaan Negeri.