Pengunjung : 32531 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Kajian terperinci fikir golongan miskin


Kajian terperinci fikir golongan miskin

RUWAIDA MD ZAIN



SHAH ALAM – Kerajaan perlu membuat kajian terperinci jika ingin meneruskan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan permohonan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengemukakan kenaikan tarif elektrik Januari tahun depan.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Charles Santiago berkata, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan adalah bebanan bayaran kepada rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah, golongan miskin, ibu tunggal dan yang tidak mempunyai pekerjaan.

Menurut beliau, keputusan tersebut amat tidak wajar jika diteruskan tanpa memikirkan nasib rakyat miskin dan kesan jangka panjang kepada umum.

“Mereka yang berkemampuan sudah tentu boleh bayar tetapi bagaimana nasib mereka yang tidak mampu? Ia akan menjadi satu masalah kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah. Ini bermakna peratusan bebanan yang mereka tanggung selama ini akan tambah meningkat.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah tidak wajar. Jika diteruskan ia akan memiskinkan dan menyusahkan rakyat kebanyakan dari golongan miskin, yang tiada pekerjaan, ibu tunggal, penganggur walaupun negara Malaysia kaya dengan hasil seperti bijih, getah dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau juga mahu kerajaan mengambil kira dan memikirkan kepentingan rakyat miskin yang masih ramai di negara ini termasuk miskin bandar.

Charles berkata, pendapatan penduduk di negara ini tiada peningkatan sejak 15 tahun lalu mungkin kerana inflasi dan sebagainya akan mengakibatkan bebanan akan lebih tinggi.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, angka-angka bank pinjaman perumahan 67 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP).

“Kalau GDP 1000, pinjam 670, angka tersebut begitu besar bagi warga Malaysia, itulah yang menyebabkan mereka terpaksa membuat pinjaman untuk menyara keluarga. Ditambah pula sekarang ini semakin bertambah ramai golongan miskin bandar, macam mana kerajaan hendak melaksanakannya?

“Kerajaan perlu menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam mesra pengguna yang lebih berpatutan kerana ini adalah janji Pak Lah. Rakyat pula perlu diberikan gaji kasar yang lebih tinggi. Sebagai contoh kalau gaji 15 tahun lalu RM500, boleh beli lima ekor ayam tetapi gaji RM500 hari mungkin kita hanya akan dapat seekor ayam sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil contoh negara membangun lain yang akan menaikkan gaji pekerja sebelum menaikkan cukai dan sebagainya supaya rakyat yang berpendapatan rendah tidak merasa keperitan bebanan itu.