Pengunjung : 1464 Selasa 9-2-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Ah long tuntut hutang peminjam sampai mati

SERI KEMBANGAN – Tuntut hutang sampai mati! Begitulah yang boleh digambarkan kepada keluarga mangsa ah long di sini apabila geng pemberi pinjaman wang tidak berlesen itu terus menuntut hutang dipinjam mangsa yang didakwa sudah meninggal dunia.

Lebih membimbangkan keluarga mangsa, kumpulan ah long berkenaan datang mengganggu mereka di waktu awal pagi bagi memungut hutang yang dipinjam selain bertindak menyimbah cat berwarna hitam ke rumah mereka.

Kakak ipar kepada peminjam wang berkenaan, Chong Mei Fun, 41, berkata, adik kepada suaminya, Mendiang Low Sin Faat, 48, meninggal dunia 23 Oktober lalu akibat sakit paru-paru.

Menurutnya, dia sekeluarga memang mengetahui tabiat adik iparnya yang suka membuat pinjaman wang kepada ah long namun menjelaskan, pembaya ran sering dibuat seperti biasa tanpa sebarang masalah.

“Adik saya bekerja di sebuah pusat hiburan dan dia memang mempunyai hobi suka berjudi serta mempertaruhkan wang di tempat-tempat seperti Genting dan sebagainya.

“Namun setahu saya, sebelum ini setiap kali mendiang membuat pinjaman, hutang berkenaan dibayar olehnya tanpa sebarang masalah,” katanya ketika membuat aduan kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Pusat Khidmat di sini, pagi, semalam.

Mei Fun berkata, beliau bagaimanapun terkejut apabila menemui sehelai kertas yang dihantar ke rumahnya di Taman Equine dekat sini seminggu selepas kematian adik iparnya memaklumkan mengenai pinjaman wang berkenaan.

“Selepas seminggu kematian mendiang, geng ah long berkenaan menghantar sepucuk surat ke rumah kami dan meminta menghubungi wakil mereka bernama Patrick.

“Saya kemudian menghubungi nombor lelaki itu bagi memaklumkan bahawa adik ipar sudah meninggal dunia. Lelaki itu bagaimanapun memaklumkan sudah mengetahui tentang kematiannya malah mendakwa ada melawatnya di hospital serta mengambil gambarnya di hospital beberapa hari sebelum meninggal dunia,” katanya.

Katanya, selepas beberapa hari, lelaki yang dikenali dengan nama Patrick itu tidak lagi mengganggunya berhubung kes hutang adiknya yang berjumlah kira-kira RM1,000.

“Selepas geng ah long berkenaan menghilangkan diri, kami sekeluarga dikejutkan dengan satu lagi insiden yang mencemaskan apabila dua lelaki dipercayai geng ah long yang berlainan datang mengetuk pintu rumah dengan kuat kira-kira jam 2.30 pagi semalam (kelmarin).

“Saya yang kebetulan tidur bersama dua anak tidak berani membuka pintu menyebabkan dua lelaki dipercayai berbangsa Cina berusia lingkungan 30-an yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berwarna merah bertindak menyimbah bahagian depan rumah dengan cat berwarna hitam,” katanya.

Menurutnya, selepas kira-kira 30 minit dan pasti bahawa kedua-dua lelaki berkenaan sudah beredar, dia kemudian memberanikan diri membuka pintu untuk melihat apa yang berlaku.

“Rumah saya disimbah cat berwarna hitam dan saya berasa bimbang kerana terbau sesuatu seolah-olah kerosin.

“Bimbang kejadian berulang, saya membuat satu laporan di Balai Polis Serdang, petang hari yang sama,” katanya.

Beliau berkata, geng ah long berkenaan sepatutnya tidak mengganggu kami lagi kerana adik ipar saya sudah meninggal dunia.

“Siapa yang berhutang dialah yang patut membayarnya dan tanggungjawab itu tidak terletak di bahu kami,” katanya yang meminta kumpulan ceti haram itu tidak lagi mengganggunya sekeluarga.