SELEPAS Daniel Baroni, Danilo Rafael, Abdelfatah Safi dan Hamidan Mohammed terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kem Hijau Kuning kini tiba giliran Chayene Santos pula.

Tindakan ini dibuat selepas penyertaan Santos sejak Januari lalu gagal menghadirkan impak besar di bahagian serangan sebaliknya penyerang tempatan, Khyril Muhymeen lebih cemerlang.

SAH

Perkhabaran ini disahkan pengendali Kedah, Marijo Tot dan kelibat penyerang import baru bakal dilihat bersama Kedah pada perpindahan pemain April ini.

Ujar Tot, Santos mungkin lebih bernasib baik dengan pasukan barunya selepas ini.

“Inilah kehidupan seorang pemain bola sepak apabila dia gagal menyesuaikan diri,  agal menepati harapan majikannya dan juga peminat pasukan itu, dia digugurkan dan terpaksa meneruskan kariernya bersama pasukan lain selepas ini.

“Kami berterima kasih pada Santos yang telah bersama Kedah sejak Januari lalu,” katanya.
 
SATU

Untuk rekod, Santos hanya menjaringkan satu gol sahaja menerusi sepakan penalti pada saingan Piala FA menentang NS Betaria.

Jelas pengendali dari Croatia itu, dia akan cuba membawa seorang penyerang berwibawa dari negaranya, selepas kembalinya dari sana pada 21 Mac ini.

“Kita adalah pasukan yang paling sedikit menjaringkan gol berbanding dua pasukan pendahulu iaitu Sime Darby FC dan Sarawak setakat ini, saya berharap kedatangan import baru akan menambahkan sengat di bahagian serangan,” ujarnya yang enggan mendedahkan lagi identiti pemain import baru tersebut.

KEMBALI

Sementara itu, Santos difahamkan bakal kembali beraksi semula di Thailand kerana mendakwa suasana kehidupan di negara tersebut lebih kurang sama dengan negara kelahirannya.

Malah kegagalan menyesuaikan diri dengan corak kehidupan di Kedah didakwa menjadi punca dia tidak mampu mempamerkan prestasi yang cemerlang bersama Kenari.

Santos dikatakan sedang mengadakan perbincangan dengan bekas kelabnya, Esan United untuk kembali semula ke kelab lamanya itu.