• Salleh menunjukkan notis yang ditampal di dinding rumahnya di Kampung Banggol Donas. Salleh menunjukkan notis yang ditampal di dinding rumahnya di Kampung Banggol Donas.
1 /

KUALA TERENGGANU – “Saya akan ketepikan notis ini terlebih dulu dan bawa masalah ini ke mahkamah untuk diselesaikan,” itu kata putus yang diberikan penduduk, Salleh Embong berhubung arahan berpindah dikeluarkan Pejabat Tanah Daerah, Rabu lalu.

Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas berkata, dia tidak akan berpindah walaupun kerajaan mengeluarkan notis perpindahan kerana sudah menetap di situ sejak sekian lama.

“Kenapa perlu saya pindah sedangkan ini tanah keluarga turun temurun dan bukan saya duduk (tinggal) atas tanah haram atau milik kerajaan.

“Saya akan ambil tindakan mahkamah sebelum 21 hari dari tarikh notis, biar mahkamah tentukan,” katanya.

Salleh adalah salah seorang penduduk yang diarahkan berpindah oleh kerajaan kerana kawasan kediamannya terlibat dengan projek pembinaan Jalan Jeram Tokong ke Teluk Pasu.

Dia yang tetap bertegas dan enggan berganjak daripada keputusan itu turut mendakwa tiada perbincangan dilakukan sebelum ini dengannya menyebabkan masalah itu menjadi lebih rumit.

Menceritakan kronologi masalah kepada Sinar Harian, Salleh berkata, pihaknya telah mengemukakan surat kepada jabatan terlibat berhubung bantahan pengambilan tanah sejak akhir Januari 2008 sehingga kini.

“Kita sudah banyak kali menghantar laporan serta memorandum kepada jabatan kerajaan untuk mencari alternatif lain supaya tidak mengambil tanah penduduk, tetapi hasilnya mengecewakan, sehinggalah dihantar notis ini,” katanya.

Salleh turut mempertikai tindakan pihak berkuasa tempatan menghantar notis arahan berpindah ke rumahnya dengan membawa beberapa kenderaan jabatan termasuk polis, seolah-olah beliau seorang penjenayah.

Turut mengecam tindakan itu, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus, Dr Alias Razak, Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus, Ridzuan Hashim dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Nerus, Hishamuddin Abdul Karim.

Mereka sepakat menyifatkan tindakan menghantar notis dengan cara itu tidak sepatutnya berlaku kepada seorang warga emas yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah yang perlu membawa bersama pihak berkuasa sedemikian rupa.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbir Tanah bahagian Pengambilan Tanah, Pejabat Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda ketika dihubungi Sinar Harian mengakui, pihaknya membawa polis dan agensi lain semasa menghantar notis itu.

Beliau berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan atas faktor keselamatan ekoran pegawainya pernah menerima ancaman ketika menghantar notis pindah sebelum ini.

“Kami (pejabat tanah) sudah dua hingga tiga kali datang untuk menampal notis pindah, tetapi tugas kami dihalang sehingga berlakunya ugutan.

“Setelah berbincang dan mengambil kira semua kategori termasuk faktor keselamatan, kami bersetuju untuk datang semula ke rumah pengadu dengan membawa bersama pihak berkuasa dengan tujuan menghantar notis pindah,” katanya.

Wan Hariff Rafany berkata, keengganan penduduk berpindah boleh menyebabkan mereka diambil tindakan undang-undang serta bangunan atau binaan akan dirobohkan setelah tamat tempoh notis iaitu 21 hari selepas tarikh notis diberi.

Berhubung tindakan pengadu yang mahu membawa perkara ini kepada mahkamah, pejabat tanah bersedia menghadapinya secara terbuka.