• Tengku Putra Haron Aminurrashid menyempurnakan sesi flag-off. Tengku Putra Haron Aminurrashid menyempurnakan sesi flag-off.
1 /

JOHOR BAHRU - Seramai 100 peserta menjayakan kayuhan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang bakal diraikan 21 Mac tahun depan.

Kesemua peserta terdiri daripada warga sekolah berkenaan termasuk bekas pelajar dan guru memulakan kayuhan dari pekarangan Astaka sekitar jam 9 malam kelmarin.
Hadir menyempurnakan flag-off adalah Adun Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat.

Penganjur program, Nor Azhar Abd Hamid berkata, kayuhan sejauh lebih 20 kilometer sekitar bandar raya Johor Bahru itu bertujuan mempromosikan sambutan ulang tahun sekolah berkenaan.

“Simbolik dengan sambutan ulang tahun ke-100 yang bakal disambut pada tahun depan, kami mengehadkan penyertaan kepada 100 peserta bagi program ini.
“Bermula di MSAB, kayuhan menuju ke Dataran Bandaraya Johor, Bazar Karat, The Zon (Stulang), Danga Bay, Singgah Selalu, Hotel M-Suite dan kembali pulang ke sekolah,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulangtahun Ke-100 MSAB, Zais Akil.

Nor Azhar berkata, kesemua peserta yang menyertai kayuhan berusia antara 17 hingga 50 tahun.

“Secara santai, kami berkayuh pada waktu malam, kemudian menuju ke kawasan tumpuan orang ramai untuk mengedarkan ‘flyer’ berhubung sambutan 100 tahun MSAB.

“Bagi warga sekolah sendiri, pasti mereka sedar mengenai usia sekolah yang menginjak 100 tahun, namun tidak kepada orang ramai. Atas sebab itu, kita membuat program ini,” katanya.

Beliau turut berharap dapat menganjurkan kayuhan bagi tujuan yang sama pada masa akan datang sebagai usaha menarik minat orang ramai untuk bersama warga MSAB meraikan sambutan berkenaan.