• Lebuh raya utama di Detroit diliputi salji tebal dan turut menyebabkan kesesakan di beberapa laluan utama. - Reuters Lebuh raya utama di Detroit diliputi salji tebal dan turut menyebabkan kesesakan di beberapa laluan utama. - Reuters
1 /

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Perintah darurat diisytiharkan di New England, New York dan New Jersey selepas kawasan di timur utara Amerika Syarikat (AS) berterusan dilanda salji tebal, angin kencang dan cuaca sejuk melampau, semalam.

Sebanyak 20 lagi negeri di AS dan lebih 120 juta penduduk di negara terbabit dijangka terjejas akibat ribut musim sejuk tersebut.

Menurut FlightAware.com keadaan cuaca buruk itu telah menyebabkan kira-kira 8,000 penerbangan terpaksa dibatalkan manakala lebih 4,000 lagi ditangguhkan sejak kelmarin.   

Susulan daripada itu, Gabenor New York, Andrew Cuomo bertindak menasihatkan penduduk supaya mengelakkan sebarang aktiviti di luar rumah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kebanyakan kawasan kini dilanda salji tebal sehingga 38 sentimeter.

Sementara itu, Gabenor Massachusetts, Deval Patrick menyifatkan situasi tersebut sebagai sangat berbahaya berikutan suhu diramalkan menjunam sehingga 25 darjah Celsius di bawah paras sifar.  

Menurut AFP, Perkhidmatan Kaji Cuaca AS turut mengeluarkan amaran selepas ribut musim sejuk itu dijangka menjadi bertambah buruk.