SALAMFONE Sdn Bhd (Salamfone), perkhidmatan mudah alih berasaskan syariah pertama di dunia yang memulakan perkhidmatan pada April 2011 mengumumkan syarikat itu telah menghentikan perkhidmatan secara rasmi, semalam, beberapa hari selepas melaporkan gangguan taliannya.

Dalam satu kenyataan melalui laman web dan laman Facebook, Salamfone memaklumkan syarikat itu gagal mengaktifkan kembali perkhidmatan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan selepas gangguan terhadap talian Salamfone dilaporkan mula berlaku pada 27 Ogos lalu.

"Kami ingin memohon maaf kerana telah mengecewakan semua rakan-rakan kami yang selama ini telah menaruh sepenuh kepercayaan dengan perkhidmatan yang kami sediakan," menurut kenyataan di laman web Salamfone.

Usaha untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung punca penamatan perkhidmatan itu tidak berjaya dan wakil syarikat itu hanya memaklumkan akan mengadakan sidang media bagi memperjelaskan isu itu dalam masa terdekat.

Syarikat itu turut menasihati penggunanya supaya berhijrah ke perkhidmatan lain dengan segera.

Salamfone yang menerima pensijilan syariah pada Disember 2010 adalah anak syarikat Reach Telecom, iaitu sebuah syarikat teknologi berpusat di Kuwait yang menyediakan penyelesaian mudah alih.

Salamfone diperkenalkan sebagai perkhidmatan mudah alih pertama berasaskan syariah dari segi operasi, proses dan prosedur syarikat, produk dan servis yang ditawarkan, dari segi kontrak hingga ke transaksi jualan dan dalam segala aktiviti dikendalikan oleh pengurusan syarikat itu.

Selain perkhidmatan biasa seperti panggilan suara dan internet, Salamfone turut membuat aktiviti seperti infak, di mana 1 sen daripada setiap panggilan melebihi 60 saat untuk rangkaian Salamfone akan dimasukkan ke dalam tabung infak yang kemudian didermakan kepada orang memerlukan.

Salamfone sebelum ini turut menyediakan khidmat rujukan agama Talian Hidayah secara percuma serta menghantar beberapa penggunanya untuk mengerjakan umrah dan haji sebagai hadiah istimewa.