Soalan
Sepupu saya mendirikan rumah tangga pasangannya atas dasar cinta. Selepas tiga tahun usia perkahwinan mereka, berlaku perselisihan faham sehingga si suami dalam keadaan marah melepaskan kata cerai melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Apakah status perhubungan mereka?

Jawapan

UMUM mengetahui kuasa talak ini adalah di bawah kuasa seorang suami di mana apabila suami melafazkan talak, maka jatuhlah talak dan perkahwinan akan terbubar. Bagaimanapun kuasa ini tidak boleh disalahgunakan oleh suami kerana cerai ini adalah halal yang paling dibenci ALLAH SWT.

Talak/pembubaran perkahwinan/cerai ini boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu pertama lafaz sarih iaitu secara jelas di mana suami melafazkan dengan jelas menceraikan isterinya. Contohnya: “Saya cerai kamu dengan talak satu”

Dalam hal ini, lafaz yang sarih akan mendatangkan kesan perceraian walaupun tanpa niat. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW: "Tiga perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dianggap bersungguh-sungguh dan dilakukan dengan bergurau dianggap bersungguh-sungguh juga iaitu: nikah, talak dan rujuk". (Riwayat At-Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Kategori kedua pula adalah lafaz kinayah iaitu seperti kata-kata sindiran atau kiasan di mana lafaz yang diucapkan oleh suami boleh mendatangkan maksud lain selain maksud talak. Contohnya: “awak baliklah ke rumah ibu bapa awak.”

Lafaz ini tidak dapat dipastikan dengan jelas maksud suami sama ada menceraikan isterinya atau tidak. Oleh itu, ia hendaklah disertai niat suami menceraikan isterinya semasa melafazkan ucapan itu. Perceraian juga boleh berlaku dalam bentuk tulisan. Jumhur fuqaha berpendapat, talak melalui tulisan hendaklah disertai dengan niat.

Menjawab persoalan dalam kes minggu ini, berkaitan dengan talak dijatuhkan kepada seorang isteri melalui SMS, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang bersidang pada 27 Ogos lalu, telah membincangkan hal ini dan telah memberi keputusan seperti berikut:

1. Talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimile, SMS, emel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ia adalah sah sekiranya disertai dengan niat.

2. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk mensabitkan talak tersebut.

3. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan syarak.

Pengurusan emosi

Perceraian dewasa ini kerap berlaku akibat emosi yang tidak terkawal antara kedua belah pihak. Setiap pasangan hendaklah cuba sentiasa bertolak ansur dan saling cuba memahami antara satu sama lain.

Pengurusan emosi dan perasaan memainkan peranan penting dalam hal ini, lebih-lebih lagi ke atas pemimpin keluarga iaitu suami kerana suami yang kurang sabar dan tidak dapat mengawal emosi akan melakukan sesuatu yang mungkin akan dikesali di kemudian hari.

Suami pemegang kuasa talak secara umumnya haruslah berhati-hati dan hendaklah pandai mengawal perasaannya. Ini kerana walaupun perceraian adalah perkara yang halal namun dibenci ALLAH SWT.

Dalam isu kali ini, pengadu menyatakan talak tersebut dijatuhkan dan berlaku sewaktu suami dalam keadaan amat marah. Bagaimanakah untuk menentu sahkan sama ada jatuh talak dan adakah suami berniat dalam menyampaikan hasratnya untuk bercerai melalui sistem pesanan ringkas?

Bagi menjawab ketidakpastian ini, perkara ini hendaklah dibawa ke muka pengadilan dan hanya Hakim Mahkamah Syariah yang berhak dan mempunyai bidang kuasa dalam menentu sahkan perkara ini.

Sekiranya perkara penting sebegini berlaku, ia tidak boleh dibuat tak tahu dan berdiam diri sahaja. Seharusnya perlu dibawa perkara ini ke Mahkamah Syariah untuk siasatan dan pengesahan. Pihak isteri tidak perlu menunggu suami membuat aduan. Ia boleh dibuat tanpa kehadiran pihak suami.

Merujuk kepada Seksyen 55A Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984: "...seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari daripada pelafazan talak itu melaporkan kepada Mahkamah."

Selepas aduan diterima, mahkamah akan melakukan siasatan untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan ke atas talak yang dilafazkan itu sah mengikut hukum syarak dan setelah mahkamah berpuas hati talak yang dilafazkan itu adalah menurut hukum syarak.

Selanjutnya, mahkamah akan mengeluarkan perintah membenarkan perceraian tersebut berlaku dengan talak, merekodkan perceraian tersebut dan menghantar salinan rekod itu
kepada Ketua Pendaftar untuk tujuan pendaftaran.

Selanjutnya Seksyen 55 Akta yang sama menegaskan lagi berkenaan hal ini, iaitu tiada lafaz talak atau perintah perceraian atau pembatalan boleh didaftarkan melainkan Ketua Pendaftar berpuas hati, Mahkamah telah membuat perintah muktamad berhubungan dengannya.

Dalam hal ini, sikap seorang suami yang menceraikan isteri melalui SMS adalah suatu perbuatan tidak beradab dan tidak boleh dicontohi. Ini adalah kerana urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk adalah suatu perkara penting dalam Islam.

Sesungguhnya zaman sekarang ini adalah zaman kecanggihan teknologi dan ia tidak wajar disalahgunakan. Sekiranya pada awal perkahwinan, isteri dinikahi dengan cara baik dan terhormat. Maka begitu jugalah yang harus dilakukan untuk mengakhiri perkahwinan tersebut.

Golongan suami tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka dengan sesuka hati. Talak hendaklah dilafazkan dengan tanggungjawab dan tidak boleh diambil ringan kerana ia adalah hukum dan peraturan yang telah ditetapkan dalam al-Quran.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik...” (Surah Al-Baqarah: 229)

Soal Jawab Guaman oleh Datuk Khairul Anwar Rahmat