KUALA TERENGGANU - Mahkamah sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan terhadap seorang buruh setelah mengaku bersalah merogol kekasihnya berulang kali sejak pertengahan Jun hingga pertengahan September tahun lalu.

Mohd Azuan Mohd Nordin, 20, yang beralamat di Dungun mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya, semalam.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu berusia 19 tahun didakwa merogol kekasihnya yang ketika itu berusia 15 tahun 3 bulan pada pertengahan Jun 2013 jam 12 tengah malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tok Kah, Dungun.

Bagi pertuduhan kedua, dia sekali lagi didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi yang sama pada pertengahan September 2013, jam 12 tengah malam.

Mangsa sebelum ini mengadu telah dirogol berulang kali di kediaman tertuduh, mangsa turut menerima ancaman daripada tertuduh sekiranya enggan melakukan hubungan dengannya, dia akan mengamuk di hadapan rumah datuk mangsa.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 17 Oktober tahun lalu dan tertuduh ditahan jam 2.20 pagi di kediamannya di Kampung Bahagia, Tok Kah, Dungun pada 7 November 2013.

Mohd Azuan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Azhar memerintahkan tertuduh menjalani hukuman serentak bagi kedua-dua pertuduhan.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.