• ketam
1 /

Ketam merupakan hidupan laut yang menjadi kegemaran ramai, sama ada dimasak gulai lemak cili api mahupun dimasukkan ke dalam mi kari. Pasti kecur air liur dibuatnya.

Menu mi ketam banyak ditawarkan di mana-mana restoran tapi sukar untuk mencari rasa yang benar-benar menepati cita rasa.

Bagi yang tinggal di sekitar Shah Alam dan Klang, Selangor, pasti sudah biasa dengan Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam ini.

Ini kerana mi ketam yang dihidangkannya menjadi bualan pelanggan yang menikmatinya sehingga ada yang berulang kali ke sana untuk melepaskan ‘gian’.

Diilhamkan oleh anak muda berjiwa kental, Usamah Makmum bersama kembarnya Ubai, 28, restoran ini telah menjadi perniagaan keluarganya apabila dua orang lagi adiknya bersama-sama membangunkannya.

Salah seorang daripada mereka, Muhammad Ezzat, 22, kini mula berjinak dengan perniagaan ini apabila tekun mempelajari cara-cara menghasilkan mi ketam.

“Bahagian dapur diketuai oleh abang, Usamah dan saya menjadi pembantunya apabila diperlukan, sekali gus memberi ruang untuk saya mempelajarinya,” katanya.

Menurutnya, resipi mi ketam dihasilkan oleh Usamah yang sememangnya sangat gemarkan ketam sejak dari kecil.

“Sebelum membuka restoran ini, beliau beberapa kali membuat ujian rasa resipinya kepada kami adik-beradik. Setelah berpuas hati, barulah Usamah nekad untuk membuka restoran ini,” katanya.


Jual 150 ekor ketam sehari

Beliau berkata, sama ada ketam bunga atau nipah, mi ketam menjadi pilihan pelanggan.

“Pilih sahaja apa yang anda mahu nikmati, kami akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Muhammad Ezzat berkata, rasa manis semula jadi ketam nipah menyebabkan ia menjadi pilihan pelanggan walaupun harganya lebih mahal sedikit berbanding ketam bunga.

“Selain manis, ia mempunyai isi yang padat dan lebih banyak daripada ketam bunga, namun terpulang kepada pelanggan kerana setiap orang mempunyai cita rasa berbeza," katanya.

Untuk memastikan ia enak untuk dinikmati, menurutnya, bekalan ketam nipah diambil daripada pembekal setiap hari yang dibawa khas dari Pulau Ketam, Klang.

“Bagi ketam bunga, kami mengambil bekalan di Pasar Borong Shah Alam setiap pagi selepas penelitian dan pemilihan dilakukan untuk memastikan ia segar sekali gus menjamin kualiti hasil masakan,”katanya.

Beliau berkata, Restoran Mee Ketam Kuala Lumpur menggunakan kira-kira 150 ekor ketam sehari bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

“Syukur, restoran ini terus mendapat sambutan daripada pelanggan,” katanya.

Bagi yang tidak mahu meninggalkan nasi dalam diet seharian, anda boleh mencuba set nasi putih bersama udang galah masak cili yang ditawarkan.

“Udang galah dimasak bersama kuah memberi kelazatan yang tersendiri ditambah pula rasa manis udang bercampur dengan rasa pedas cili api,” katanya.

Pelanggan boleh memilih saiz udang mengikut bajet sendiri kerana harganya dikira mengikut berat.

“Kesemua udang galah di sini bersaiz L dan XL yang mana bekalannya dibawa oleh pembekal dari Sabah setiap dua hari sebanyak 20 kilogram,” katanya.


Konsep gerai

Minuman laici kang turut menjadi pilihan bagi menghasilkan kombinasi sempurna dengan setiap hidangan.

“Sama dengan laici kang di restoran lain, bezanya ia ditambah kolagen di dalamnya untuk awet muda selain menyejukkan badan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat sepuluh menu yang boleh dipilih dan harga yang ditawarkan berpatutan serta mampu dinikmati oleh semua.

Ditanya mengenai resipi, Muhammad Ezzat berkata, tiada resipi rahsia yang digunakan untuk menghasilkan rasa enak dalam setiap hidangan.

“Semua ini berkat daripada usaha abang yang mahu berkongsi kegemarannya bersama orang lain melalui hidangan yang dihasilkan,” katanya.

Berkonsepkan gerai, pelanggan boleh melihat sendiri cara penyediaan hidangan kerana ruang tersebut diletakkan di bahagian hadapan.

Mempunyai pengetahuan dalam bidang pembuatan perabot tidak disia-siakan Muhammad Ezzat apabila berjaya menghasilkan set meja berkerusi empat khas untuk pelanggan restoran itu.

“Saya menggunakan kayu terpakai yang dibeli dari kedai kayu dan menghasilkannya mengikut kreativiti sendiri, tidak sangka ia menjadi,” katanya mampu menyiapkan set meja dalam tempoh dua hari.