“Saya menjaga pemakanan diri dan keluarga,” Fairuz Hussien Seronok dapat bertemu dengan pelantun lagu Kali Pertama, Lembayung Sepi dan Ku Menyintai ini. Sikap rendah diri dan lemah lembut yang ada pada diri anak pasangan seniman dan seniwati terkenal Hussein Abu Hassan A.M.N dan Mahyon Ismail ini sangat dikagumi.
Biarpun sudah lebih 20 tahun berada di pentas nyanyian, dia tidak lokek menurunkan ilmu pada generasi baru. Tidak hairanlah dia dipilih menjadi guru vokal Program Realiti Televisyen Studio Bintang Kecil dan juga juri Program Realiti Akademi Fantasi 8 yang lalu.
Dia bukan saja mempunyai suara yang lunak merdu, bahkan penyanyi yang memilih genre R&B dan Jazz ini juga turut menulis lirik dan menerbitkan album. Kesempatan bertemu dengannya baru-baru ini dikediamannya yang terletak di Bandar Sri Damansara adalah pengalaman yang berharga yang tidak dapat dilupakan. Kebetulan ketika itu suaminya, Zul Nadzar, Pengarah Muzik yang tidak asing lagi dan anak mereka, Syarifudin Amin, 15 tahun, turut ada di rumah.
Ketika kunjungan di buat, Fairuz telah menyediakan dua resipi kegemaran keluarganya untuk dipaparkan di dalam Majalah Rasa. Biarpun tampak ringkas, namun apa yang menarik dia membuat sendiri bahan asas dan sos yang digunakan di dalam masakannya. Mungkin kalau menyebut bebola daging, ramai yang akan membeli yang sudah ada tersedia di pasar raya. Tetapi bagi Fairuz, apabila dia dapat menyediakannya sendiri, rasanya lebih enak.
“Inilah resipi kegemaran keluarga saya,” sambil menunjukkan ke arah Salad Ceasar dan Spageti Bebola Sos Napolitan yang sedia terhidang di atas meja.
“Kami sekeluarga sukakan makanan yang ringkas sahaja. Tetapi berkhasiat dan mengenyangkan,” tambahnya lagi.
Menurut Fairuz, selain resipi tersebut, dia juga kerap menyediakan Spageti Bolognaise, Rendang Ayam, Ayam Tandoori dan Sup Daging.
“Macam suami saya, dia hanya makan nasi sehari sekali sahaja. Sebab itu menu hidangan utama tu ringkas sahaja. Anak saya pula, dia gemarkan Ayam Gril, Ayam Goreng, Kentang Goreng dan burger. Sebab itulah saya tidak ada masalah di dalam penyediaan makanan keluarga,” ujarnya.
Menurutnya lagi, selain menjaga pemakanan dengan mengurangkan karbohidrat, dia juga selalu bersenam dan melakukan aktiviti berbasikal bersama keluarga. Amalan gaya hidup sihat ini dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit.
Suka Melukis
Siapa sangka, Fairuz mempunyai bakat melukis. Malah dia juga mempunyai banyak koleksi lukisan menarik yang boleh dijual. Ada juga diantara lukisannya yang telahpun dijual pada teman-teman.
“Saya mula melukis sejak 15 tahun yang lalu. Sebenarnya saya pernah ditawarkan melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Halus di Peranchis. Namun hasrat tersebut terpaksa dilupakan kerana keluarga tidak benarkan.
“Jadi selepas itu saya mula mengikuti kelas lukisan. Seronok sebenarnya melukis ini, ia dapat mengurangkan stress,” ujarnya mengakhiri perbualan.
* Dapatkan resipi Fairuz Hussin menghasilkan Spageti Bebola Sos Napolitan dalam majalah RASA edisi April




