Wau Kedah pikat hati anak muda
$entry.content.caption.value

Sebut sahaja wau atau layang-layang, pasti ada yang membayangkan pelbagai corak dan bentuknya yang menghiasi ruang angkasa. Namun tahukah anda di sebalik penghasilan kreatif permainan itu memerlukan kepakaran, ketelitian dan kesungguhan selain minat yang mendalam terhadap permainan tradisional itu.

Persatuan Wau Negeri Kedah (Wau Kedah) yang kembali aktif sejak 2008 dilihat berjaya menarik penyertaan anak muda untuk turut sama memartabatkan warisan wau di Kedah. Kini Wau Kedah mempunyai keahlian seramai 60 orang yang berusia antara 18 dan 60 tahun dari seluruh negeri Jelapang Padi itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Ghazali Md Isa, 49, berkata, pada masa kini persatuan menerima keahlian dalam kalangan generasi muda yang begitu menggalakkan.

Menurutnya, bukan mudah untuk menarik keahlian anak muda namun minat mendalam membawa generasi itu untuk bersama memartabatkan permainan warisan turun-temurun itu.

“Kami sedia memberi galakan dan sokongan kepada mereka yang benar-benar meminati seni dan warisan permainan tradisional ini supaya ditelan zaman,” katanya.

Menyobek wau

Menyobek atau mengukir. Itulah antara bidang tugas yang dipertanggungjawabkan kepada anak muda, Mohd Rusli Ahmad, 21, untuk menghasilkan lukisan atau motif pada wau supaya kelihatan menarik.

Mohd Rusli mula aktif bersama Wau Kedah sejak 2009, namun bakat seni yang ada pada diri turut membolehkannya menghasilkan ukiran menarik pada wau yang akan menyertai pertandingan.

“Pada mulanya saya hanya minat melukis pelbagai jenis motif pada wau. Namun lama-kelamaan, ahli persatuan yang lebih berpengalaman memberi kepercayaan kepada saya untuk menghasilkan ukiran menarik pada wau yang akan bertanding peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Saya menerima dengan tangan terbuka kerana peluang hanya datang sekali dalam hidup,” katanya yang kini menghabiskan masa lapang untuk menyobek Wau Sobek atau Wau Cantik.

Koleksi wau itu bakal dipertandingkan dalam Wau/Layang-layang Peringkat Kebangsaan sempena Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang ke-17, 2012 yang berlangsung pada 14 hingga 19 Februari ini.

12 peserta ke Pasir Gudang

Ghazali memberitahu seramai 12 peserta berusia antara 18 hingga 45 tahun bakal membawa nama Wau Kedah ke Pasir Gudang. Kini semua peserta sibuk membuat persiapan terakhir untuk memastikan setiap wau tradisional iaitu Wau Bulan, Wau Jala Budi, Wau Kucing dan Wau Merak (mengikut identiti tuan rumah) berada dalam keadaan baik.

Pemain wau berpengalaman, Ibrahim Shafiee, 48, yang sudah lebih 15 tahun menceburi bidang itu berkata bukan mudah untuk menarik golongan muda untuk meminati permainan tradisional itu jika tidak diberi sokongan dan galakan.

Ibrahim melihat penglibatan anak muda dalam permainan itu mampu mengurangkan gejala negatif dalam kalangan remaja kerana mereka lebih meluangkan masa dengan aktiviti sihat seperti bermain wau.

“Lebih baik kita beri galakan kepada mereka melakukan sesuatu yang berfaedah seperti bermain wau daripada membiarkan mereka membuang masa dengan aktiviti tidak sihat yang hanya boleh merosakan diri mereka sendiri.

“Saya bangga melihat penglibatan anak muda dalam Wau Kedah yang semakin mendapat sambutan dan tempat di hati mereka pada masa kini,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.