Amat jarang sekali anak muda menceburi bidang penternakan atas alasan ia tidak popular, membosankan dan tidak mendatangkan keuntungan dalam masa singkat.

Jika ada pun anak muda yang menceburi bidang tersebut, jumlahnya boleh dikatakan agak sedikit berbanding golongan dewasa kerana ia memerlukan penumpuan serius dan komitmen tinggi.

Bagaimanapun, ketika ini sudah ramai golongan muda mula berkecimpung dalam bidang tersebut kerana ia berpotensi menjana pendapatan lumayan, di samping tidak mempunyai tekanan berbanding kerja di pejabat.

Penternakan arnab merupakan salah satu bidang yang boleh diceburi golongan muda kerana ia bukan sahaja mempunyai pelbagai potensi, malah mampu membentuk personaliti individu menjadi lebih cekap dan berdikari.

Arnab atau nama saintifiknya Oryctolagus cuniculus merupakan haiwan mamalia kecil yang banyak terdapat di kawasan benua Eropah, Amerika dan Australia. Lazimnya, haiwan ini dipelihara sebagai haiwan kesayangan kerana ia mempunyai saiz kecil dan comel.

Selain dipelihara, arnab juga sesuai diternak untuk dijadikan makanan kerana dagingnya lebih lembut, halus dan kurang lemak. Ia semakin mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai kerana mempunyai pelbagai khasiat baik untuk kesihatan tubuh badan.

Menyedari situasi itu, Wan Muhamad Bakri Saifudin, 23, mula menceburi bidang penternakan arnab setelah beliau sendiri yakin dengan kelebihan dan potensi yang ada pada haiwan tersebut.  

Menurutnya, arnab merupakan haiwan yang mudah diternak, cepat membiak dan membesar serta boleh menghasilkan anak yang banyak pada setiap kali kelahiran.

“Arnab mempunyai potensi luas untuk diusahakan kerana terdapat beberapa bahagian lain daripadanya boleh digunakan bagi menjana pendapatan seperti najis, tulang dan kulit,” katanya pada InfoAgro.

Pemilik D’Banting Resoursces ini berkata, penglibatan beliau dalam penternakan arnab bermula dengan memelihara dua ekor arnab di mana ketika itu ia hanya dijadikan hobi sampingan.

“Setahun kemudian, saya mula bergerak secara kecil-kecilan selepas dua ekor arnab yang dimiliki sebelum ini menghasilkan anak. Pada ketika itu, saya hanya menternak 10 ekor arnab daripada dua jenis baka di kawasan rumah.

“Saya anggap peristiwa itu merupakan permulaan serius dalam mempelajari selok-belok dalam dunia penternakan ini. Tahun berikutnya, saya sudah nampak potensi bidang ini dan mula bergerak serius dengan menyewa tapak dan membina reban lebih teratur,” katanya.

Bagaimana pun, ia tidak semudah yang disangka kerana usaha beliau itu tidak dipersetujui ayahnya yang banyak menyaksikan kegagalan beberapa penternak arnab termasuk rakannya sendiri pada suatu ketika dahulu.


Bukan ternakan sukar

Lepasan sijil Autocat Mekanikal ini berkata, sikap ayahnya itu tidak menghalang usaha untuk terus menceburi penternakan arnab kerana beliau sendiri yakin mampu mengatasi masalah kegagalan tersebut.  

“Untuk menangani perkara ini, saya sering melakukan kajian melalui melalui internet, bacaan dan perbincangan bersama rakan usahawan lain bagi mengenal pasti punca masalah, langkah mengatasi, potensi dan kelebihan,” katanya.

Wan Muhamad Bakri berkata, penternakan arnab bukan sesuatu bidang yang sukar diceburi kerana ia boleh dilakukan sekiranya individu mengetahui segala perkara berkaitan ternakan comel ini.

“Apa yang penting, mereka perlu sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran, menetapkan hala tuju perniagaan dan memberi komitmen penuh bagi memastikan penternakan yang dijalankan mampu mencatatkan kejayaan,” katanya.

D’Banting Resources menjalankan penternakan di sebuah ladang berkeluasan kira-kira 0.20 hektar yang terletak di Kanchong Darat, Banting. Sehingga kini, syarikat Bumiputera itu menternak kira-kira 200 ekor arnab daripada baka arnab pedaging dan arnab peliharaan.  

Antara baka arnab yang diternak adalah New Zealand White, Chincilla, Flemish Giant (arnab pedaging) dan English Angora, Netherland Dwarf (ND), Holland Lop (arnab peliharaan).

Beliau berkata, syarikatnya lebih memberi tumpuan kepada pasaran arnab pedaging kerana ia mendapat permintaan menggalakkan daripada orang ramai.

“Ia terbukti apabila saya pernah mendapat permintaan untuk membekalkan daging arnab kepada beberapa pelanggan dalam jumlah besar iaitu daripada 10 kilo seminggu hingga satu tan sebulan.

“Bagaimana pun, saya tidak mampu untuk memenuhi permintaan tersebut memandangkan bilangan dan jumlah arnab yang dimiliki masih belum mencukupi,” katanya.


Tingkat kualiti arnab

Buat masa ini, D’Banting Resources hanya mampu memenuhi permintaan sekitar 40 kilogram sebulan. Antara pelanggan tetapnya adalah Satay House, Kota Damansara di mana bekalan yang dihantar adalah 30 kilogram daging dalam tempoh dua minggu.

Anak kelahiran Banting ini berkata, syarikatnya turut menawarkan jualan arnab peliharaan namun ia bukan segmen perniagaan utama meskipun arnab peliharaan mempunyai harga lebih menguntungkan berbanding arnab pedaging.

Selain dua segmen tersebut, beliau turut menyediakan rawatan untuk arnab pedaging mahu pun arnab peliharaan dan perkhidmatan hotel arnab pada musim perayaan atau sekiranya mendapat permintaan daripada pelanggan. 

Untuk masa depan, beliau merancang untuk melaksanakan peningkatan kualiti daripada segala aspek seperti menghasilkan arnab pedaging lebih berkualiti melalui kaedah pembenihan bersilang dan berpindah ke kawasan lebih luas.

“Buat masa ini, saya hanya beroperasi di kawasan ladang agak kecil di mana ia membatasi pelaksanaan pelbagai perancangan saya. Ia juga turut menghalang saya untuk memenuhi jumlah permintaan yang lebih besar di pasaran,” katanya.   

Wan Muhamad Bakri berkata, orang ramai mula mengenali dan mengakui kelazatan daging arnab serta boleh menjadi alternatif kepada ayam sebagai makanan eksklusif Malaysia.

Menurutnya, harga daging arnab tidak begitu mahal jika ditimbang daripada aspek khasiatnya dan beliau yakin ia berbaloi dengan kualiti yang diberikan.

“Saya berharap perusahaan ini mampu membantu umat Islam dalam mendapatkan pilihan daging arnab yang diyakini halal sekali gus turut merealisasikan hasrat saya untuk menjadi pengeluar daging arnab halal bumiputera dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMPUNG BANGGOL TOK JIRING - Siapa sangka daripada hobi memelihara arnab, akhirnya membuka pintu rezeki buat Jefri Abdullah, 40, untuk menceburi secara langsung dalam bidang perniagaan membabitkan haiwan jinak itu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.