$entry.content.caption.value
Antara kegusaran ibu bapa setiap kali melepaskan anak-anak bermain adalah risiko untuk cedera. Sementelah malang tidak berbau, kecederaan kadangkala boleh berlaku apabila mereka terhantuk pada permukaan keras di taman permainan.
Justeru binaan angin boleh dianggap antara permainan yang kurang berbahaya buat kanak-kanak. Apatah lagi, binaan ini biasanya didatangkan dalam pelbagai bentuk menarik seperti rumah kecil, istana, gelongsor air dan taman laut serta dihiasi pula bermacam-macam karakter menarik termasuk watak kartun terkenal yang mampu menarik perhatian si kecil.
Sudah lama terkenal di negara Barat sebagai penyeri majlis kanak-kanak, binaan angin diberi bermacam-macam nama jolokan. Di Malaysia ramai kanak-kanak menggelarnya permainan 'lompat-lompat' menyerupai istilah pula-pula (jump-jump) yang digunakan kanak-kanak Latin.
“Selain mengurangkan risiko cedera, inflatable bouncer atau binaan angin sangat bagus untuk membantu kanak-kanak mengeluarkan peluh. Mereka boleh melompat setinggi mungkin sambil bergembira di dalamnya bersama rakan-rakan. Secara tidak langsung ini satu riadah sihat buat generasi muda,” kata pemilik Ponie Resources, Muhammad Ishak Fauzi Mansur, 31, ketika ditemui Sinar Harian.
Mengusahakan perniagaan membekalkan binaan angin sebagai kemudahan di medan selera dan majlis-majlis peribadi bersama rakan kongsi, Hasnolrizal Samsudin, 36, sejak Ogos tahun lalu, Fauzi menyifatkan sambutan diterima sangat baik. Buktinya dua tapak binaan angin yang dibuka syarikatnya secara tetap dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam setiap hari di Medan Selera Sg Ramal, Kajang serta Medan Selera Lokas Makana, Puchong Utama berjaya menjadi salah satu tarikan pengunjung untuk menjamu selera di tempat berkenaan.
“Kebanyakan binaan angin ini diletakkan dalam taman permainan tertutup di pusat beli-belah. Kami meneroka pasaran baru dengan menempatkannya di kawasan luar. Menerusi cara ini lebih ramai kanak-kanak dapat bermain dan dari sudut positif lain, ibu bapa boleh menjamu selera dengan aman sementara anak mereka bermain,” ujar Fauzi sambil tertawa.
Tambahnya, binaan angin biasanya mempunyai hanya satu pintu kecil untuk masuk dan keluar jadi pengawasan lebih mudah dilakukan. Namun meskipun permainan sebegini jauh lebih selamat berbanding permainan diperbuat material keras seperti kayu dan besi, pekerja masih ditempatkan untuk mengawal keselamatan kanak-kanak. Antara yang perlu diawasi adalah kejadian buli ketika mereka bermain di dalamnya selain memastikan tiada barangan bahaya dan tidak sesuai seperti batu, kayu, lidi sate dan makanan dibawa masuk.
Popular di barat
Menyentuh tentang bilangan dan had usia kanak-kanak, Fauzi menyatakan setiap binaan mempunyai saiz berbeza dan biasanya boleh diisi antara 15 hingga 50 orang pada satu-satu masa. Bagaimanapun binaan yang mendapat perhatian kanak-kanak di tempat awam biasanya bersaiz lebih besar dan mempunyai tarikan menarik di dalamnya seperti gelongsor, replika karakter animasi dengan ruang lebih terbuka. Manakala binaan angin yang lebih kecil dan comel, menjadi pilihan pelanggan yang menempah untuk memeriahkan sambutan majlis hari lahir anak mereka dengan bilangan jemputan terhad.
“Bagi tempat awam seperti medan selera, caj masuk dikenakan cuma RM5 seorang untuk sekali masuk dan bermain sepuas-puasnya manakala harga bagi sewaan sebuah binaan angin untuk majlis peribadi bermula daripada RM500,” terang Fauzi sambil menambah, binaan angin amat popular di negara Barat dan menjadi kemestian setiap kali parti keluarga atau majlis melibatkan kanak-kanak dianjurkan.
Begitu pun selaku pengusaha perniagaan berkenaan yang ingin meneroka pasaran baru, Fauzi mengakui ada risiko tertentu perlu diawasinya apabila membuka permainan di tempat awam serta terbuka. Antara masalah dihadapi adalah faktor cuaca seperti angin kencang dan hujan yang membuatkan binaan angin kadangkala terpaksa ditutup atas faktor keselamatan. Bagi mengatasi masalah ini, syarikatnya terpaksa mengeluarkan belanja tambahan mendirikan kanopi besar sebagai pelindung.
“Akan datang kami merancang untuk membawakan binaan angin seperti gelongsor dan permainan air pula. Harapan kami, perniagaan ini bukan sahaja memberikan keuntungan tetapi turut membantu kanak-kanak ketawa kegirangan sekali gus mencatat kenangan indah pada zaman kecil mereka,” akhiri anak muda berjiwa besar ini seraya tersenyum.




