PADA awalnya, Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Sejagat (Uniaid) dikenali sebagai Aegean Refugee Aid (ARA). Ianya ditubuhkan pada 23 November 2015 di Izmir, Turki, sebelum didaftarkan secara rasmi di Malaysia dengan nama Uniaid.

Mengikut rekod, lebih daripada 150 orang dari lebih 20 negara telah menyertainya sebagai sukarelawan untuk program-program dijalankan oleh Uniaid semenjak tahun 2015.

Presiden Uniaid, Thaqib Shaker berkata, idea penubuhan Uniaid ini bermula pada Ogos 2015 sewaktu lawatannya bersama rakan-rakan di Bosnia-Herzegovina.

"Saya berpeluang bertemu dengan Duta Besar Malaysia sewaktu itu, Datuk Anuar Kasman dan saya teraspirasi dengan kisah-kisah dan aktivitinya dalam membantu warga Bosnia-Herzegovina.

"Jadi saya ambil keputusan menjalankan tanggungjawab ini di Izmir. Saya ada kongsikan kisah tertubuhnya Uniaid di dalam buku saya berjudul Anak Malaya Di Republik Turki terbitan Ilham Books," kongsinya mengenai sejarah Uniaid.

Antara sumbangan berbentuk keperluan makanan diberikan.

Pada awalnya Uniaid memang bertujuan membantu pelarian Syria di Izmir.

Menurut Thaqib, Izmir satu-satunya kota yang NGOnya beroperasi memandangkan dia sendiri merupakan penuntut di situ.

Selepas mendapat sokongan daripada masyarakat antarabangsa dan tempatan, dia mengambil keputusan untuk melebarkan sayap NGO ini di Malaysia.

"Pada tahun 2016, kami telah menjalankan beberapa aktiviti bantuan kepada pelarian Somalia, Syria, Palestin dan Rohingnya di Malaysia. Bahkan kami meluaskan skop bantuan dengan membantu warga tempatan susah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"September 2017 lalu juga, Uniaid telah menyumbangkan 7 ekor kambing yang disumbang oleh warga Malaysia untuk ibadah korban di Sarajevo dan Srebrenica di Bosnia-Herzegovina," katanya.

Tak terlepas cabaran

Bantuan bukan sahaja daripada bentuk memberi makanan dan bahan mentah, bahkan Uniaid menjalankan banyak program bermanfaat kepada kanak-kanak khususnya seperti kelas bahasa, mewarna dan juga sambutan-sambutan tertentu seperti Hari Ibu dan hari jadi kanak-kanak.

Thaqib berkata, setakat direkodkan, lebih daripada 1,000 orang telah Uniaid berjaya bantu yang mana mereka ini adalah daripada golongan pelarian dan juga warga susah tempatan.

Tak terlepas sisi sukar, menurutnya antara cabaran utama perlu dihadapi Uniaid kekangan bahasa kerana pelarian-pelarian Syria bertutur dalam bahasa Arab dan Kurdi.

"Kami terpaksa mencari seseorang boleh bertutur dalam bahasa mereka. Golongan pelarian juga ada agresif dan sukar dikawal,  kami terpaksa menjalankan segala aktiviti dengan bantuan warga Syria itu sendiri.

"Warga Turki ramai tidak menyukai pelarian Syria ini, tapi tak halang bantuan kepada mereka," katanya.

Tidak menafikan begitu banyak pengalaman manis dan pahit sewaktu menjalankan aktiviti NGO ini, paling terkesan padanya apabila melihat ibu-ibu di Syria kehilangan suami dan anak-anak dicintai.

Mereka hilang sumber pendapatan dan kehidupan begitu sukar apatah lagi untuk ibu yang sarat hamil dan kehilangan suami.

"Kanak-kanak pula tidak boleh ke sekolah tempatan, maka mereka hanya habiskan masa di rumah dan kerja di kilang-kilang atau restoran tertentu. Umat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur.

"Sewajarnya mereka menterjemahkan kesyukuran itu dengan membantu di mana sahaja mereka berada," katanya.

Ibu dan anak Syria yang kehilangan suami dan bapa.

Thaqib berkata, pelarian Syria di Turki berhadapan pelbagai undang-undang rumit seperti urusan sekolah dan hospital.

Sekalipun banyak NGO wujud di situ, tapi ia masih kurang untuk membantu puluhan ribu pelarian di sekitar Izmir sahaja. Apatah lagi di seluruh turki  ada lebih 3 juta pelarian.

"Uniaid bukanlah pertubuhan besar, jadi segala bantuan hanya dijalankan selepas dapat dana. Jika Uniaid tak mampu, kami akan maklum pada NGO lain dengan beri maklumat dan info berguna pada mereka.

"Semenjak pintu masuk ke benua Eropah  disekat, ramai pelarian menetap sementara di Izmir dan ada juga menyeludup masuk ke Greece melalui jalan laut," maklumnya.

Khemah pelarian di Syria.

Buat masa ini Uniaid memerlukan dana  membeli alat pemanas badan dan arang termasuklah baju sejuk juga kasut bot dan sebagainya dengan segala bentuk bantuan sangat dialu-alukan.

Menurutnya, bagi tidak berkemampuan, doa dan menghebahkan maklumat hal ini sangat diperlukan dan bagi sebaliknya, mereka dialukan menyumbang.

Visi Uniaid - Mewujudkan kesedaran kepada masyarakat dunia atas tanggungjawab menjalankan bantuan kemanusiaan dan memupuk sikap tolong menolong.

Misi - Memberi bantuan kepada pelarian dan imigran dalam dan luar negara. Menarik lebih ramai pemuda dan pemudi turut menjalankan bantuan kemanusiaan. Menunjukkan solidariti kepada kerja-kerja kemanusiaan dan kebajikan.