PUSAT Teknologi Pembenihan Akuakultur Marin (FRI) Tanjung Demong, Besut berjaya menemukan kaedah baharu dalam teknologi pembiakan ikan Kerapu Harimau iaitu menggunakan ubi gadong sebagai hormon terapi untuk kematangan gonad, organ yang berfungsi dalam proses reproduksi induk ikan.

Penemuan kaedah yang dianggap terkini dalam bidang pembiakan ikan marin itu atau nama saintifiknya Epinephelus fuscoguttatus dianggap sebagai kejayaan pertama di negara ini dalam usaha membolehkan induk betina mengeluarkan lebih banyak telur bagi tujuan pengeluaran benih ikan.

Kaedah ini pernah dilakukan di Mexico tetapi bagi penghasilan hormon steroid yang diproses untuk kegunaan manusia.

Ubi gadong atau Dioscorea hispida merupakan sejenis ubi beracun daripada 19 spesis ditemukan tumbuh meliar dan memanjat hingga 20 meter di Malaysia serta berkulit keras nipis berwarna coklat kekuningan seperti ubi keledek dan isinya pula kuning keputihan.

Bagaimanapun ubi ini berjaya dijadikan produk makanan setelah melalui proses pembuangan racunnya menerusi penyelidikan daripada Penyelidik Kanan di FRI Tanjung Demong Dr Ahmad Daud Om dengan pengambilan sejenis sebatian beracun yang terdapat padanya.

Sebatian beracun yang terdapat dalam ubi itu dikenali sebagai discorine merupakan sejenis alkaloid yang larut di dalam air untuk penghasilan steroid diosgenin yang memberi kesan kepada tindak balas hormon pembiakan ikan.

Steroid diosgenin yang diambil daripada ubi gadung melalui proses ekstraksi itu kemudiannya menjadi sumber penting dalam kejayaan penghasilan hormon kepada proses kematangan ikan menerusi kajian yang dilakukan di FRI.  

Dr Ahmad Daud ketika ditemui Bernama di pusat tersebut hari ini berkata, hasil kajian inovasinya yang diberi nama i-gADO itu dimulakan pada 2016 secara berterusan terhadap 50 ekor ikan Kerapu Harimau.  

Katanya kajian itu dilaksanakan apabila pusat itu sering berhadapan dengan bekalan benih ikan yang tidak konsisten buat pengusaha terlibat di samping pengeluaran dan kualiti telur yang rendah oleh induk betina serta kebergantungan kepada stok induk luar yang memerlukan belanja tinggi.

“Bagi mengatasi masalah tersebut kita mencari kaedah dengan merangsang buatan daripada ekstrak ubi gadong bagi mendapatkan larutan sebelum dijadikan kapsul untuk meningkatkan hormon yang bersesuaian dengan kos dan berkesan mengikut kaedah aplikasi,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengurusan Perladangan dan Komoditi Negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof (kanan) mendengar penerangan dari Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali (tiga ,kanan) ketika membuat lawatan kerja ke Bahagian Penyelidikan Akuakultur Ikan Marin, FRI Tanjung Demong, Jabatan Perikanan Malaysia. - Foto Bernama

Dr Ahmad Daud berkata, sebatian ubi tersebut diambil untuk melalui proses ektraksi dengan menggunakan pelarut organik sebelum dikeringkan hingga menjadi tepung melalui kaedah kering beku yang mengambil masa antara 5 hingga 6 jam bagi mendapatkan larutan berbentuk cecair berwarna hitam.

Katanya untuk setiap 50 kilogram ubi gadong yang diproses, ia hanya akan menghasilkan kira-kira 300 gram larutan sebelum dijadikan kapsul pemakanan ikan.

Penemuan baharu dalam kaedah pembiakan ikan itu secara langsung dapat menjimatkan kos kerana sebelum penemuan ini pihak FRI hanya menggunakan hormon sintetik yang memerlukan kos tinggi bagi merangsang kematangan gonad ikan betina.

Beliau berkata, sebelum ini setiap suntikan sintetik hormon seberat 15,000 I.U berharga RM200, iaitu bagi setiap ikan kerapu betina induk seberat 3-5 kilogram memerlukan sebanyak 2-3 suntikan hormon sintetik untuk jangka masa beberapa jam.

“Ini bermakna dalam satu sesi peneluran secara buatan ini, kira-kira RM1,200 diperlukan (bergantung kepada berat induk) bagi mendapatkan suntikan hormon untuk setiap seekor ikan induk kerapu betina,” kata beliau lagi.

Kini, bagaimanapun kaedah yang digunakan berbeza apabila pusat itu menggunakan kapsul daripada ubi gadong yang hanya bernilai RM3 sebiji, melalui pengambilan sebanyak 3 kali seminggu oleh ikan induk betina selama 2 bulan dengan kos hanya RM70 sahaja setiap ekor.

Anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menunjukkan antara tujuh bubu lipan dalam operasi di Parit Kedondong Parit Jawa Muar. - Foto Bernama

Dr Ahmad Daud berkata dengan pemberian i-gADO, abdomen ikan induk kerapu betina akan membesar dalam masa 30-40 hari sebagai menandakan hormonnya telah meningkat kepada pembentukan telur.

Antara kebaikan penggunaan kaedah baharu itu bukan sahaja ia dapat menjimatkan kos malah memudahkan pengurusan serta mengurangkan stress kepada induk ikan yang kemudian mampu merangsangnya menghasilkan lebih banyak telur daripada biasa.

Katanya kajian penggunaan kaedah i-gADO itu akan diteruskan dan beliau optimis masalah kekurangan pengeluaran benih daripada FRI Tanjung Demong akan dapat diatasi mulai pertengahan tahun ini bagi membolehkan penternak ikan kerapu mendapat bekalan benih mencukupi pada masa depan. - Bernama