Tujuh tahun kemudian...
$entry.content.caption.value

Ombak tsunami melanda Asia pada 2004 masih meninggalkan kesan mendalam

Tsunami. Perkataan Jepun yang membawa maksud ombak laut.Perkataan ini agak janggal sebelum ini pada pendengaran penduduk di Asia Tenggara.

Tetapi semuanya berubah sekelip mata, apabila pada pagi 26 Disember 2004, gempa bumi luar bia­sa dengan kekuatan 9.1 pada skala Richter di dasar Lautan Hindi mencetuskan ombak besar yang bakal menjadi perbualan dunia buat bertahun-tahun akan datang.

Siapa sangka, gulungan air sehingga mencecah ketinggian 30 meter akan datang dan meranapkan puluhan daerah di seluruh dunia, serta menyebabkan kematian dan kehilangan lebih 226,000 orang di Thailand, Indonesia, Sri Lanka, India, Malaysia dan lapan negara lain.

Bencana itu tercatat sebagai antara bencana alam yang terburuk dalam sejarah dunia moden.

Dan semalam, dunia memperingati ulang tahun ketujuh ombak tsunami melanda Asia, dengan pelbagai upacara dilakukan oleh rakyat di setiap negara yang menjadi saksi kebesaran kuasa Tuhan.

Di Aceh, Indonesia, iaitu antara kawasan paling teruk terjejas akibat tsunami, lebih seribu kanak-kanak sekolah dan 600 penduduk mengambil bahagian dalam program kesedaran keselamatan semasa bencana, kelmarin.
Program itu adalah sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan sempena memperingati kejadian ombak besar yang membunuh anggaran lebih 160,000 orang penduduk Aceh, tujuh tahun lalu.

“Adalah penting untuk kanak-kanak mempelajari keselamatan semasa bencana supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan jika satu lagi tsunami atau gempa bumi berlaku,” menurut Datuk Bandar Aceh, Mawardy Nurdin.

Kempen itu menyaksikan kanak-kanak sekolah pelbagai umur di Banda Aceh dan Aceh Besar mengambil bahagian dalam pertandingan melukis, merancang laluan evakuasi dan kelas rawatan kecemasan.

Sementara itu, penduduk di bandar Lhoknga, Aceh turut menganjurkan bacaan Yasin, doa serta solat berjemaah sempena memperingati bencana itu, semalam.

Lhoknga adalah bandar paling teruk terjejas akibat tsunami di Aceh, dengan 80 peratus daripada penduduk bandar itu terkorban semasa bencana alam itu melanda.

Di Sri Lanka, anggota keluarga mangsa yang terkorban turut menyalakan lilin dan membuang air susu ke dalam laut sebagai upacara memperingati mangsa.

Arca diperbuat daripada pasir yang menggambarkan bencana tsunami turut dihasilkan oleh karyawan negara itu di sepanjang pantai.

Di Thailand pula, upacara bersama melibatkan penduduk Islam, Buddha dan Kristian diadakan di Phuket, iaitu antara kawasan yang turut dilanda tsunami.

Apa pun dilakukan sempena ulang tahun ketujuh bencana itu, jelas penduduk di seluruh dunia masih ingat peritnya impak tsunami.

Kenangan pahit dibawa bersama hempasan kuat ombak tsunami mungkin tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila, terutama bagi mangsa terselamat, tetapi kebanyakan mereka menerima bencana itu sebagai tanda kekuasaan Tuhan.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.