• Toyota Avanza 2012
1 /

Sejak Toyota Avanza mula diperkenalkan di pasaran negara pada 2004, jualannya meningkat saban tahun dan sehingga akhir tahun lalu sebanyak 140,000 unit Avanza berada di jalan raya.

Jika anda merupakan peminat tegar Toyota dan berkira-kira untuk memiliki sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna) baharu, Toyota Avanza 2012 boleh dicatatkan dalam senarai pilihan MPV yang ingin dimiliki.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd memperkenalkan generasi ke-2 Toyota Avanza menerusi empat varian dengan tawaran enjin 1.3 liter (L) dan 1.5L. Bagaimanapun transmisi manual hanya tersedia bagi enjin 1.3L sahaja.

Keempat-empat varian yang diperkenalkan ialah 1.3E, 1.5E, 1.5G dan 1.5S. Di bawah bonetnya, Avanza dijana enjin DOHC 4 silinder sebaris, 16 injap. Bagi 1.3L, jentera mengeluarkan kuasa 76kW pada 6000rpm dan 136Nm kilas pada 4400rpm. Bagi 1.5L pula menghamburkan kuasa 67kW pada 6000rpm dan kuasa kilas 117Nm pada 4400rpm.

Dari segi penghantaran kuasa pula, Avanza 1.3L dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan dan 1.5L dilengkapi dengan transmisi automatik empat kelajuan.

Dibina berasaskan maklum balas pelanggan Avanza, kenderaan MPV tujuh kerusi kali ini menampilkan peningkatan dari segi kosmetik pada bahagian luar dan dalam. Sebagai tambahan ia juga lebih cekap dalam penggunaan bahan api, ruang dan kestabilan.

Menurut Ketua Jurutera Toyota Motor Corporation Jepun, Kaoru Hosokawa, Avanza 2012 lebih praktikal menerusi rekaan dinamik MPV kecil . Saiz yang ditampilkan hampir sama dengan saiz generasi sebelumnya dengan penambahan 20 milimeter (mm) panjang keseluruhan dan pertambahan 30mm lebar keseluruhan serta 20mm ditingkatkan pada bahagian belakang dan depan.

“Bahagian hadapan, Avanza kelihatan lebih kuas dan model baharu kali ini dapat dikesan menerusi kombinasi lampu baru belakang.

“Bagi varian 1.5S pula, bampar hadapannya pula ditampilkan dengan rekaan sport eksklusif bersama gril radiator sport dan bampar belakang sport,” katanya.

Malah, mengekalkan imej sport, Avanza hadir dengan rekaan hendal pintu baru yang digantikan dengan pembuka pintu kereta moden kini.

Bahagian kabin pula, MPV ini didatangkan dengan papan pemuka yang direka semula, diubah kedudukannya dan direndahkan bagi memberikan ruang yang luas dan keselesaan untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Selain itu menyerlahkan gaya moden, Toyota menggunakan kombinasi meter 3D bagi memudahkan penglihatan ketika malam ataupun siang. Di sebelah meter turut tersedia paparan digital purata penggunaan petrol dan jumlah kilometer (hanya bagi varian 1.5S dan 1.5G).

Untuk kawalan pemanduan pula, stereng tiga jejari didatangkan dengan diameter lebih kecil yang memberi perasaan membawa kereta dan bukannya MPV. Sementara butang audio pada stereng hanya disediakan untuk varian 1.5S, 1.5G dan 1.5E.

Ruang simpanan belakang juga boleh dipertingkatkan menerusi tempat duduk berkonfigurasi serba boleh di mana boleh lipat 50:50 di barisan ketiga.

Dari segi ciri keselamatan, Avanza dilengkapi dengan sistem anti kunci brek dan agihan tekanan brek elektronik, beg udara berkembar SRS (untuk1.5S dan 1.5G) dan sistem keselamatan yang menggunakan dua kunci kawalan jauh, ‘immobiliser’, siren dengan bateri tambahan, sensor kabin dan pintu kunci automatik.

Toyota Avanza kali ini dijual pada harga bermula RM64590 hingga RM79590 untuk pendaftaran individu di Semenanjung Malaysia.

Pembeli Avanza baharu bakal menikmati jaminan selama tiga tahun atau 100,000 kilometer dan boleh memilih aksesori tambahan lain serta kit badan aero yang dijual berasingan.

Untuk tahun ini, UMW Toyota akan melancarkan empat model baru dan beberapa peningkatan pada model sedia ada. Paling terdekat, Toyota akan melancarkan model hibrid Prius C pada bulan hadapan.