KOTA BHARU - Peminat kucing sudah pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyertai pertandingan yang dianjurkan pelbagai pihak bagi menonjolkan kecantikan dan kecomelan haiwan belaan yang sememangnya diminati ramai.

Keletah dan keunikan haiwan belaan ini sering mendapat tempat di hati golongan peminatnya tidak mengira jantina kerana haiwan ini cukup manja dengan pemiliknya.

Usaha pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) harus dipuji kerana dapat menganjurkan pertandingan seumpama ini walaupun buat pertama kalinya diadakan di Kelantan.

Pertandingan terbabit yang diadakan di Terminal Makanan Negara Teman) Tunjung, semalam, adalah sebagai medan untuk mempamerkan haiwan ternakan terbabit di samping mendapatkan informasi berguna mengenai penjagaannya dengan cara yang betul.

Pengarah JPV Kelantan, Datuk Mohd Zairi Serlan berkata, menjadi harapan pihaknya untuk menganjurkan pertandingan seperti itu sebagai acara tahunan.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, kita akan adakan pertandingan ini pada masa akan datang.

“Walaupun penyertaannya pada tahun ini kurang sambutan mungkin disebabkan ramai yang tidak tahu, kita akan terus mengadakan program ini agar mendapat liputan meluas daripada media,” katanya.

Sementara itu, seorang peminat kucing, Farah Hanan Ahmad berkata, pertandingan terbabit merupakan satu usaha yang amat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Ramai peminat kucing dapat berkumpul dalam pertandingan seperti ini selain dapat bertukar pandangan dan berkongsi maklumat mengenai penjagaan dan menguruskan haiwan ini.

Farah berkata, harapannya agar lebih ramai lagi peminat akan menyertai pertandingan seumpama ini yang bukan sahaja sebagai medan untuk menonjolkan kucing mereka malah dapat pengetahuan berguna di samping dapat bersua muka dan bertemu sendiri dengan pihak JPV dan meminta nasihat.

Pemenang pertandingan kucing tempatan baka jantan, Azlan Abdullah, 53, berkata, dia gemar membawa kucingnya menyertai pertandingan.

“Ketiadaan anak, membuatkan saya suka memelihara kucing dan ia menjadi hobi saya.

“Sejak 2008, saya mula menjaga kucing dan kini ia membiak sudah hampir 30 ekor kesemuanya, walaupun kos perbelanjaan untuk menjaga kucing mahal, tetapi saya tetap ingin membelanya kerana minat kepada tingkah lakunya yang manja dan memahami setiap perkataan yang dituturkan pemiliknya.

Azlan berkata, walaupun kadangkala timbul rasa bosan melayan kerenah kucingnya namun perasaan itu hanya seketika, kerana keletah kucing yang manja membuatkannya kesian dan simpati terhadap haiwan peliharaan itu.

Sementara itu, peminat cilik kucing, Ahmad Ashraf Fakrul Anuar, 7, berkata, hingga kini dia begitu meminati kucing setelah melihat ibunya,Norizam Muhd Yusof, selalu memberi perhatian kepada kucing yang diberi naman ‘Oyen’.

“Ibu sering menjaganya dengan baik, bukan sahaja bagi makan malah turut membawa ‘Oyen’ ke klinik jika ia sakit.

“Kasih sayang yang ditunjukkan ibu menyebabkan saya mula menyayangi kucing itu dan menjadikannya sebagai kawan bermain di rumah,” katanya.