• Ahli kelab Jitra Tomoi Club (JTC) bersama jurulatih dan ahli jawatankuasa. Ahli kelab Jitra Tomoi Club (JTC) bersama jurulatih dan ahli jawatankuasa.
  • Pak Lang memberikan latihan terhadap teknik tendangan yang sempurna. Pak Lang memberikan latihan terhadap teknik tendangan yang sempurna.
  • Yusri (kiri) memberikan latihan kepada ahli kelab yang akan memasuki pertandingan. Yusri (kiri) memberikan latihan kepada ahli kelab yang akan memasuki pertandingan.
1 /

SENI mempertahankan diri Muay Thai atau lebih dikenali sebagai tomoi dilihat mempunyai satu keunikan yang luar biasa dan popularitinya semakin meningkat naik terutamanya di sekitar daerah Kubang Pasu, Jitra, Kedah.

Jika dinilai dengan mata kasar pergerakan yang dilakukan tampak lembut namun hakikatnya ia adalah keras dan memerlukan gerak tubuh secara keseluruhannya.

Ketua Jurulatih Jitra Tomoi Club (JTC), Yusri Abdullah berkata, empat bahagian utama bertindak sebagai senjata seseorang peserta atau ‘fighter’ yang melibatkan pergerakan tangan, siku, lutut serta kaki untuk bertahan dan menyerang pihak lawan.

Menurutnya, pergerakan dengan menggunakan empat bahagian tersebut berperanan penting dalam menentukan kejuaraan seseorang ‘fighter’ namun penggunaannya bergantung kepada kreativiti mereka sendiri.

“Sekiranya setiap pergerakan diteliti dengan baik serangan yang dilakukan terhadap pihak lawan dapat memberikan pungutan hasil mata yang banyak sekali gus merangkul kejuaraan dalam sesebuah pertandingan.

“Selain itu, seorang peserta juga perlu bertindak cemerlang dengan menguasai pentas perlawanan dan memanfaatkan peluang yang ada bagi memastikan lawannya tumbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sememangnya tidak dinafikan kekuatan fizikal dan mental turut berperanan untuk memastikan peserta dapat mempertahankan diri mereka dari diserang pihak lawan.

“Setiap ‘fighter’ yang akan memasuki pertandingan penekanan terhadap kecergasan diberikan supaya mereka tidak cepat terasa letih dan perkara iini membolehkan pihak lawan mengambil peluang untuk memberikan tentangan,” katanya.

Rekrut ‘fighter’ baru

Setiausaha JTC, Kamarul Hisham Saad, berkata, menyedari popularitinya semakin meningkat naik, pihaknya mengambil inisiatif menubuhkan kelab JTC bertujuan untuk merekrut ‘fighter’ baru yang berminat menyertai pertandingan.

Menurutnya, pertubuhan kelab berkenaan menjadi platform kepada generasi muda yang berminat menyertai tomoi supaya keinginan mereka menyertai pertandingan tercapai.

“Kebanyakan remaja kini dilihat sangat meminati seni mempertahankan diri namun mereka tidak tahu di mana tempatnya untuk mempelajari teknik asas dan sewajarnya perkara itu perlu didedahkan sebagai pendedahan awal kepada mereka.

“Kita juga mengenal pasti bahawa pertandingan seni mempertahankan diri ini sering kali diadakan di daerah ini namun agak mengecewakan apabila tiada wakil dihantar bagi menyertainya,” katanya.

Kamarul Hisham berkata, penubuhan kelab berkenaan bukannya untuk mengaut sebarang keuntungan tetapi sebaliknya adalah atas dasar minat dan berusaha melahirkan pelapis baru supaya ia berterusan.

“Pada mulanya kami hanya mengikuti beberapa pertandingan namun disebabkan minat kami berusaha merancang untuk menubuhkannya dan ternyata ia mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Seluruh ahli kelab menunjukkan komitmen sepanjang penubuhannya dan kami melantik beberapa tenaga pelajar untuk melatih mereka,” katanya ketika ditemui di pusat latihan mereka di Kampung Paya Dudur, dekat sini.

Persediaan jadi fighter

Pengerusinya, Mohd Irwan Rashidi, berkata, setiap pergerakan dan teknik yang dibekalkan mempunyai kesenian serta keunikan kerana secara automatiknya setiap anggota yang digunakan untuk aktiviti seharian menjadi senjata.

Menurutnya, pergerakannya dilihat menyeluruh yang mana seluruh anggota badan berperanan penting untuk memastikan daya ketahanan, kestabilan, dan serangan balas yang dilakukan.

“Perkara ini penting kepada seseorang ‘fighter’ yang akan menyertai pertandingan sebagai persiapan awal dan penglibatan mereka dalam sesebuah pertandingan perlu dianalisis semula bagi membolehkan kelemahan dapat diatasi.

“Kalah atau menang itu adalah adat permainan. Apa yang penting penglibatan dalam pertandingan perlu diteruskan supaya membolehkan mereka menimba pengalaman dalam usaha memperbaiki mutu perlawanan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti seperti itu seharusnya dilaksanakan berikutan ia dilihat berjaya menarik minat golongan remaja supaya penglibatan mereka terhadap gejala yang tidak sihat dapat dielakkan.