Tomoi
$entry.content.caption.value

Pelbagai seni mempertahankan diri yang terdapat di negara ini. Setiap daripadanya mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri yang mampu memikat hati orang ramai untuk terlibat dalam kesenian tersebut.

Kebiasaannya seni mempertahankan diri tomoi sinonim dengan negara jiran, iaitu Thailand. Namun kini, ia semakin mendapat tempat dalam kalangan penggiat seni mempertahankan diri dan rakyat Kedah.
 
Pengerusi Persatuan Tomoi Negeri Kedah, Zahari Ahmad Razali berkata, pada awalnya tomoi hanya mendapat tempat dalam kalangan kaum Melayu tetapi sekarang mula menjadi perhatian kaum India dan Cina.
 
Menurutnya, bilangan ahli persatuan semakin meningkat dari tahun ke tahun sejak persatuan itu ditubuhkan pada 2008. Tomoi tidak hanya disertai golongan dewasa malah kanak-kanak seawal tiga tahun boleh belajar seni mempertahankan diri ini.
 
“Sekiranya golongan kanak-kanak khususnya mereka yang berusia 10 tahun ke atas adalah layak untuk memasuki pertandingan, dan kami akan bimbing mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Zahari berkata, pelbagai pertandingan telah diadakan oleh persatuan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan kesenian dan bagaimana cara mempertahankan diri yang ada pada tomoi.

 
Tarikan pelancongan
 
Pengurus Besar Menara Alor Setar, Hariyati Tahir berkata, pihaknya menjadikan acara tomoi ini sebagai salah satu acara yang mampu mempromosikan Menara Alor Setar.
 
Menurutnya, Kejohanan Tomoi Antarabangsa Z1-Menara Alor Setar yang diadakan pada 16 dan 17 Julai lalu mampu menjadi ikon kepada industri pelancongan negeri Kedah kerana ia turut melibatkan penyertaan daripada negara luar termasuk Iran, England dan Amerika Syarikat.
 
“Kebiasaannya peminat tomoi terpaksa membeli tiket untuk melihat peninju bertaraf antarabangsa beraksi, namun pihak Menara Alor Setar memberi peluang kepada peminat tomoi untuk menyaksikannya secara percuma.
 
“Ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan negeri Kedah kepada orang luar terutama di kalangan peserta daripada luar negara,” katanya.

 
Corak permainan
 
Bekas peserta tomoi, Mohd Ruzir Abd Razak, 31, berkata, Kedah merupakan salah satu negeri yang mempunyai peminat tomoi selain Pahang dan Kelantan serta Kuala Lumpur.
 
Dia menyatakan, corak permainannya yang lasak ditonjolkan peninju menjadi salah satu daya tarikan seni mempertahankan ini.
 
“Kesenian dan kehalusan yang ada pada tomoi juga menjadikan ia salah satu faktor mengapa ia semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.”
 
Tambahnya, seni yang ada pada tomoi bukan sahaja tertumpu pada aksi sahaja namun ia dapat dilihat ketika peserta mengadakan acara Sembah Guru atau Langkah Sembah.
 
“Sembah Guru atau Langkah Sembah ini merupakan salah satu mata bagi peserta yang melakukannya sebelum acara dimulakan.
 
“Ini adalah kelebihan yang ada pada tomoi berbanding seni mempertahankan diri lain yang juga mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.
 
Mohd Ruzir berkata, masyarakat diharap dapat memberi sokongan agar tomoi akan menjadi salah satu acara yang mendapat sambutan daripada orang ramai mahupun pelancong asing.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.