• Timun Fertigasi, Komitmen dan usaha rahsia kejayaan
1 /

Kaedah fertigasi bukanlah satu perkara baru bagi golongan petani kerana ia kian mendapat sambutan disebabkan kelebihannya yang mudah untuk dilaksanakan berbanding kaedah konvensional. Selain itu, kaedah tersebut tidak memerlukan ruang yang luas untuk dipraktikkan kerana medium tanaman fertigasi hanya menggunakan sebuah beg plastik yang berisi tanah dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan.

Keunikan kaedah ini membuatkan anak kelahiran Bukit Kapar Klang, Shahrom Tumiran, 43, nekad untuk mencuba demi mendapatkan hasil berkualiti dan meningkatkan lagi pencapaiannya dalam bidang pertanian.
Percubaan bertukar daripada kaedah konvensional kepada fertigasi sejak tiga tahun lalu ternyata tidak sia-sia kerana kini beliau mampu tersenyum apabila melihat hasil tanaman dan keuntungan yang diperoleh.

Beliau berkata, dirinya berhadapan masalah ketika mengamalkan kaedah terdahulu terutama daripada aspek kawalan baja dan serangan rumput-rumpai. Menurutnya, pertumbuhan rumput rumpai sama naik dengan tanaman akibat taburan baja yang berselerak namun kaedah fertigasi mengatasi kesemua masalah terbabit kerana penggunaan baja dikawal dalam beg poli.

“Apa yang penting, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dihasilkan melalui kaedah ini lebih bernilai tinggi kerana ia ditanam dan dikendalikan secara sistematik,” katanya pada InfoAgro.

Melalui kaedah ini, beliau memilih tiga jenis tanaman berpotensi untuk menjana pendapatan iaitu cili besar, rock melon dan timun. Shahrom berkata, ketika ini beliau menjalankan kaedah fertigasi di tiga kawasan berlainan mengikut jenis tanaman yang diusahakan.


Dua tanaman satu kawasan

“Saya mempunyai tiga kawasan yang disewa daripada pemilik tanah sekitar Klang dengan kadar sewaan RM300 sebulan bagi satu ekar (0.4 hektar) tanah. Saya memilih untuk menyewa kerana tidak memiliki tanah sendiri, tambahan agak sukar mendapatkan tanah di kawasan Lembah Klang.

“Pada mulanya, konsep asal bagi ladang ini adalah satu tanaman satu ladang namun untuk mendapatkan Sijil Amalan Ladang Baik Malaysia (Salm) dari Jabatan Pertanian maka saya mempelbagaikan lagi tanaman kepada dua jenis pada satu musim di sebuah kawasan ,”katanya.

Ketika ini, beliau sedang menuai hasil tanaman timun yang disemai kira-kira tiga bulan lalu. Sebahagian daripada hasil timun dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melalui program Ladang Kontrak.

Melalui program tersebut, Fama menetapkan kuantiti tertentu dalam membeli dan memasarkan hasil beliau dan selebihnya akan dijual sendiri. Selain itu, sayur timun beliau turut dipasarkan di pasar borong Klang di samping dibeli oleh pemborong tetap.

“Untuk timun sahaja, saya boleh mendapatkan hasil sebanyak 27 tan bagi satu musim iaitu kira-kira tiga bulan dan ia mampu menjana pendapatan RM33,000. Walau bagaimana pun, saya menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan timun di pasaran lantas terpaksa mengehadkan pengeluaran bagi memastikan segala permintaan dapat dipenuhi ,”katanya.

Untuk penghasilan tembikai batu, beliau turut menjalankan penanaman tanaman itu di Taman Agrotek, Klang di atas tanah seluas tiga ekar. Keunikan tanaman tembikai batu di sana adalah ia dijalankan secara fertigasi terbuka dan tidak seperti kelazimannya yang ditanam di kawasan bertutup.

Apa yang membanggakan, Shahrom serta rakan lain di Klang adalah petani pertama yang berjaya melakukan kaedah tanaman seumpama itu.


Kemas kini prosedur operasi

Beliau berkata, buah rock melon mempunyai potensi tinggi dalam pasaran dan mendapat permintaan menggalakkan sama ada di dalam atau luar negara. Menurutnya, rock melon pula mampu mencatatkan purata sebanyak RM18,000 hingga RM25,000 bagi satu ekar dalam tempoh satu musim iaitu antara tiga bulan iaitu empat bulan.

“Walau pun mendatangkan keuntungan, kita tidak boleh menanam rock melon secara berpanjangan kerana kita perlu menjaga persekitaran daripada aspek serangan makhluk perosak. Oleh itu, kita perlu membuat kitaran dengan tanaman lain seperti timun dan cili bagi mengelakkan serangga yang sama menyerang tanaman rock melon dan menimbulkan masalah lain ,”katanya.

Apa yang menarik, buah rock melon hasil tanaman Shahrom ini memenangi anugerah bagi kategori buah tembikai terbaik pada acara Selangor Fest di Shah Alam, tahun lalu. Selain itu, buah tembikai turut memasuki pasaran luar negara seperti Singapura dan Dubai di samping pasaran tempatan yang sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan.

Ketika ditanya perancangan akan datang, Shahrom berkata, beliau akan meningkatkan hasil tanaman dengan memberi lebih fokus di samping peka dengan keperluan dan kehendak pasaran. Selain itu, beliau juga sedang mengemas kini prosedur operasi bagi mendapatkan hasil berkualiti dan berbincang dengan pelanggan untuk meningkatkan nilai barangan.

“Apa yang penting, kita mesti mempunyai komitmen dalam bidang pertanian dan apabila terbukti maka ia akan menarik perhatian pelbagai pihak untuk melakukan kerjasama yang semestinya akan menguntungkan,” katanya.