KUALA LUMPUR -  Satu kajian oleh JobStreet.com mendapati tiga sebab yang diberikan pekerja untuk mengemukakan sijil cuti sakit ialah tiada keinginan untuk bekerja, kepenatan dan berpura-pura sakit untuk menghadiri temuduga pekerjaan.
    
JobStreet.com dalam satu kenyataan hari ini berkata alasan berkenaan menunjukkan pekerja tidak mempunyai motivasi di tempat kerja dan tidak jujur, hanya untuk mengelak daripada datang bekerja.
     
"Dua puluh enam peratus daripada pekerja dalam kajian mengaku mereka berpura-pura sakit untuk mendapatkan sijil cuti sakit dalam enam bulan lepas.  

Ada yang telah mengemukakan lima sijil sakit dalam enam bulan lepas," kata kenyataan itu.
    
Kenyataan itu berkata sejumlah 1,058 majikan dan 749 pekerja daripada pelbagai industri di Malaysia terlibat dalam kajian JobStreet.com, dalam Jun tahun ini.
    
Seorang daripada empat responden dalam kajian itu berkata mereka akan membeli sijil sakit palsu, jika diberi peluang, katanya.
    
"Tambahan pula mereka (pekerja) menunjukkan mereka bersedia untuk membayar sehingga RM25 untuk satu sijil cuti sakit palsu," katanya.
    
Kenyataan itu berkata lebih daripada 57 peratus majikan dalam kajian di Malaysia itu mendakwa mempunyai pekerja yang mereka rasakan berpura-pura sakit untuk mendapatkan sijil cuti sakit.
    
Apabila majikan ditanya tindakan yang diambil jika pekerja mereka mendapatkan sijil cuti sakit palsu, majikan berkata mereka menggunakan surat amaran, amaran lisan dan penilaian prestasi buruk sebagai sebahagian tindakan diambil untuk mengekang masalah ini dalam syarikat mereka.

"Semakan dengan klinik perubatan untuk memastikan pekerja benar-benar sakit juga salah satu kaedah biasa digunakan jabatan sumber manusia untuk mengesahkan ketulenan sijil cuti sakit itu," kata kenyataan itu.
    
Minggu lepas, media melaporkan polis telah melumpuhkan satu sindiket menjual sijil cuti sakit palsu dengan penangkapan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Shah Alam. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.