PERMUSUHAN antara orang Quraisy Makkah dan orang Islam tidak berakhir selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah. Perang Uhud adalah peperangan kedua yang berlaku dalam sejarah Islam pada tahun ke-3 Hijrah di pinggir Bukit Uhud.

Peperangan ini melibatkan tentera Islam  diketuai oleh Nabi SAW dan tentera Quraisy diketuai oleh Abu Sufyan bin Harb.

Punca utama yang mencetuskan peperangan ini ialah perasaan marah dan dendam kaum musyrikin Quraisy yang dikalahkan oleh tentera Islam sewaktu di dalam Perang Badar terdahulu.

Mereka berasa sangat terhina kerana tentera Islam berjaya mengalahkan mereka, di mana 70 orang pemimpin terkemuka mereka terbunuh dan 70 orang lainnya ditangkap, sementara hanya 14 orang Muslim sahaja yang mati syahid.

Kaum musyrikin Quraisy kemudiannya menghimpunkan bala tentera seramai 3,000 orang termasuk 3,000 ekor unta, 700 tentera berbaju besi, 200 ekor kuda, pasukan pemuzik dan pasukan kaum wanita yang berjumlah 15 orang telah menuju ke Madinah untuk menyerang umat Islam.

Mendengar persiapan orang Quraisy itu, Nabi Muhammad SAW telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk melindungi kota Madinah.

Baginda SAW meminta para sahabat memberikan pendapat masing-masing dengan melakukan musyawarah sama ada mahu bertahan di Madinah atau bertempur di luar Madinah.

Rasulullah SAW telah mengusulkan kepada para sahabatnya agar tidak pergi ke medan Uhud dan berkubu sahaja di Madinah.

Abdullah bin Ubai, si munafik bersependapat dengan cadangan Rasulullah, tetapi para sahabat yang terdiri dari anak muda tidak bersetuju, dan bersungguh-sungguh mahu berjihad di luar Madinah.

Melihat pendapat kalangan sahabat yang rata-ratanya mahu berperang di luar Madinah, Rasulullah SAW mengabaikan pendapatnya sendiri dan memutuskan untuk bertempur di medan terbuka.

Baginda SAW memakai kelengkapan perang sambil di pinggangnya disarungkan pedang, sementara itu para sahabat tiba-tiba muncul perasaan menyesal dan serba salah kerana keputusan mereka telah menyebabkan Rasulullah SAW keluar ke medan Uhud. Sedangkan Rasulullah SAW yang meminta mereka agar bertahan sahaja di Madinah.

Menyedari keterlanjuran tersebut, kaum Muslimin yang terdiri dari Muhajirin dan Ansar berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, kami tidak akan menyalahkanmu. Lakukanlah apa yang Tuan kehendaki. Jika Tuan ingin menetap di Madinah, lakukanlah.”

Dengan tegas Rasulullah SAW menjawab, “Seorang Nabi, jika sudah memakai baju besi, maka tidak patut dia menanggalkannya semula sehingga ALLAH SWT memberikan keputusan antara Dia dan musuh-Nya.”

Keputusan kalangan sahabat untuk bertempur di luar Madinah bukanlah lahir daripada sikap melawan terhadap keputusan Baginda SAW, tetapi lahir daripada semangat jihad yang membara.

Oleh itu, keputusan Rasulullah SAW telah bulat dan sepakat menerima keputusan musyawarah yang berpihak kepada para sahabat. Mereka keluar bertempur, medannya di Bukit Uhud. Inilah keputusan bersama, apa pun hasilnya juga menjadi tanggungjawab bersama.

Angkatan perang kaum Muslim pada awalnya terdiri daripada 1,000 bala tentera. Ketika pasukan Muslim mendekati Gunung Uhud, Abdullah bin Ubai telah berjaya memainkan peranannya dengan menghasut sebilangan tentera Islam untuk keluar dari menyertai peperangan dan kembali ke madinah. Akhirnya seramai 300 tentera telah mengikuti Abdullah bin Ubai pulang ke Madinah.


Tiup semangat kebangkitan

Pertempuran antara tentera Islam dan tentera musyrikin Quraisy akhirnya telah meletus di pinggir Bukit Uhud. Takdir ALLAH, umat Islam telah menerima kekalahan walaupun pada pusingan pertama pertempuran di Uhud, bibit-bibit kemenangan memihak kepada tentera Islam.

Namun, disebabkan kealpaan pasukan tentera memanah menuruti arahan Rasulullah SAW, telah mengundang seribu satu sebab mengapa tentera Islam tewas di medan Uhud.

Baginda SAW turut terjatuh ke dalam lubang yang digali Abu Amar Ar Rahab sehingga menyebabkan kedua-dua belah lutut terbelah luka, pipi Baginda SAW cedera dan giginya patah.

Tidak kurang juga tentera Muslim ada yang terkorban dan rata-ratanya mengalami kecederaan yang teruk  akibat serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh tentera Quraisy dengan penuh dendam.

Walaupun tentera Islam mengalami kekalahan, namun tentera musuh tidak berjaya mara untuk menawan Madinah dan membunuh Rasulullah SAW.

Abu Sufian tidak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai kerana kekuatan Islam masih kuat dan beliau cuba menyerang Madinah tetapi tindakan itu terpaksa ditarik balik apabila mendapat tahu tentera Islam kini sedang bersiap sedia untuk menyerang semula.

Kehebatan dan kepantasan Rasulullah SAW dalam mengatur strategi dan taktik dalam peperangan memberi gambaran jelas kepada kita semua bagaimana tugas nabi bukan hanya tertakluk kepada menyampaikan dakwah sahaja tetapi turut meliputi aspek pemerintahan malah peperangan dalam memastikan kalimah ALLAH terus berada d tempat yang tertinggi.

Inilah dia peranan sebenar ulama yang dikatakan pewaris nabi maka kerja mereka bukan sahaja pada tempat ibadat tetapi turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan juga tunjuk ajar dalam urusan dunia sehingga wujudnya masyarakat yang bukan sahaja taat kepada ALLAH ketika beribadat khusus tetapi turut patuh dan tunduk pada hukum ALLAH dalam menjalankan kehidupan seharian.

Walaupun sedih dengan apa yang berlaku dalam peperangan Uhud ini tetapi ALLAH telah meniupkan semangat ke dalam sanubari umat Islam melalui ayat 104 Surah An-Nisa’: yang bermaksud: “Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada ALLAH apa yang mereka tidak harapkan.”

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KADANG-KADANG anak-anak ni biasanya terlupa dan leka, biasalah bila sudah berkerja dan berkeluarga sendiri nak tak nak kita akan lebihkan keluarga sebelah isteri, kita cuba sedaya baik untuk penuhkan permintaan, lemah kita ni dengan pujukan si isteri , ikutkan sahaja permintaan agar tidak berperang di hari yang mulia ini.
  • SELEPAS mengikuti program Familiarization Trip (Famtrip) Jakarta, anjuran Dinas Parawisata (Jabatan Pelancongan) dan Kebudayaan Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta dengan kerjasama Bahagian Penerangan, Sosial dan Kebudayaan, Kedutaan Republik Indonesia Kuala Lumpur (KBRI), ternyata banyak destinasi menarik yang indah untuk dinikmati.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.