• Ahmad Muhid(empat, kiri) bersama pekerja Ladang Kitani Sungai Yu. Ahmad Muhid(empat, kiri) bersama pekerja Ladang Kitani Sungai Yu.
1 /

Tanaman tebu kian mendapat perhatian kerajaan apabila pelbagai usaha dilakukan untuk mengkomersialkannya secara besar-besaran, termasuk mempromosikan jus tanaman ini ke luar negara.

Langkah itu dilihat amat berjaya kerana hasil tanaman tebu negara kini dieksport ke beberapa negara termasuk China dan Singapura. Terkini, Malaysia dijangka mengeksport 2.7 juta batang tebu sebulan untuk pasaran Dubai menjelang 2013.

Untuk memenuhi pasaran eksport ini, bekalan tebu mentah dari seluruh negara amat diperlukan bagi memastikan permintaan dari luar negara dapat ditunaikan.

Menyedari hakikat tersebut, Kitani Tebu Enterprise (Kitani) turut mengambil peranan dalam menyediakan bekalan tebu mentah untuk pasaran eksport negara melalui pelaksanaan Projek Perintis Tanaman Tebu Telur Parlimen Tanjong Karang.

Pengerusinya, Ahmad Muhid Bidin berkata, projek itu melibatkan tanaman tebu telur di kawasan Parlimen Tanjong Karang dan ia turut merangkumi tiga lagi kawasan Parlimen iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar.

Menurutnya, objektif projek ini adalah untuk melaksanakan tanaman tebu telur lebih teratur, menghasilkan bekalan tebu berkualiti eksport, khidmat nasihat penanaman tebu yang betul, menggalakkan tanaman secara berkumpulan dan menjamin pasaran tebu.

“Setakat ini, ia menghimpunkan 83 petani yang mengusahakan ladang tebu telur seluas 121 hektar dan turut disertai 50 petani daripada program Kortani kendalian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK),” katanya pada InfoAgro.

Sehingga kini, sebanyak 64 hektar ladang Kitani sudah siap ditanam dengan tebu manakala selebihnya akan diusahakan sebelum akhir tahun ini.

Projek jangka panjang ini mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensinya seperti Jabatan Pertanian serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Selain itu, ia turut mendapat sokongan daripada Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Tekun Nasional (Tekun) dan Agrobank.


Dua juta batang tebu pada 2013

Beliau berkata, ladang kendalian Kitani memberi tumpuan penuh kepada penanaman tebu kuning atau dikenali tebu telur yang tidak begitu manis, namun mempunyai aroma kuat.

Menurutnya, ia mempunyai nilai pasaran tempatan baik dan potensi pasaran eksport tinggi di mana ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu AA, A1, dan A.

Penentuan kategori tebu telur dibezakan mengikut jumlah panjang dan bilangan ruas. Sebagai contoh tebu telur jenis AA mempunyai 35 ruas dan panjang dari empat hingga lapan inci, A1 (25 ruas, 4 hingga 7 inci) manakala A (20 ruas, 4 hingga 6 inci).

Ketika ini, ladang tebu Kitani berupaya menghasilkan 15,000 batang tebu dalam tempoh sebulan, namun ia jauh daripada permintaan pasaran iaitu 10,000 batang sehari.

Untuk itu, Kitani menyasarkan pengeluaran 1.5 hingga 2 juta batang tebu menjelang 2013 bagi menampung permintaan pasaran, sekali gus mampu menjadi pengeksport tebu Bumiputera pertama negara pada 2015.

“Buat masa ini, Kitani hanya menghantar bekalan tebu kepada pengeksport tebu lain melalui bantuan Fama. Secara fakta, terdapat sembilan pengeksport tanaman tebu di seluruh negara dengan kesemuanya merupakan pengeksport bukan Bumiputera.

“Untuk menjayakan cita-cita sebagai pengeksport, Kitani juga bercadang meluaskan lagi ladang ini kepada 405 hektar dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.

Ketika menyorot penglibatan Kitani dalam tanaman tebu, beliau bersama 14 petani lain memulakan tanaman itu secara berkumpulan di sekitar Tanjong Karang pada April 2010.

Bagaimanapun, organisasi ini mula bergerak secara aktif pada tahun lalu apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar melantik Kitani sebagai perintis projek tanaman tebu telur di Tanjong Karang.

“Banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi sepanjang penglibatan dalam tanaman tebu komersial ini. Antara yang paling diingati sudah pasti persepsi sesetengah individu yang memandang sinis usaha pihak Kitani ini.

“Selain itu, cabaran terbesar kami apabila ladang Kitani seluas empat hektar pernah dilanda bencana alam pada Jun 2010 dan mengakibatkan kerugian sehingga RM25,000,” katanya.


Purata pendapatan RM5,000 sebulan

Penanaman tebu adalah perusahaan amat menguntungkan kerana individu mampu menjana pendapatan purata RM5,000 sebulan untuk ladang seluas satu hektar.

Ahmad Muhid berkata, Kitani turut menawarkan pakej tanaman tebu telur bernilai RM3,500 kepada individu yang berminat di mana ia merangkumi benih, baja, racun dan sebagainya bagi kawasan seluas 0.4 hektar.

“Apa yang penting, setiap peserta di bawah Kitani ini perlu mengikuti kursus ditetapkan kerana kami mempunyai standard piawaian penanaman tebu untuk menjamin hayat ladang dan mendapatkan kualiti produk.

Ketika ditanya perancangan jangka depan, beliau bercadang untuk menghasilkan minuman tebu yang sedia diminum dan mempelbagaikan hidangan minuman tebu serta tidak terhad kepada perisa asli sahaja.

Beliau berkata, tanaman tebu telur berpotensi untuk memberi pendapatan lumayan kepada petani dan permintaan terhadap tanaman itu sangat tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.

“Selain jualan kepada pemborong, petani juga boleh mempelbagaikan penggunaannya dengan mengeluarkan produk berasaskan tebu telur,” katanya.