LOMBOK UTARA - INDONESIA. Gempa bumi di Provinsi Nusa Tenggara Barat (NTB), kabupaten (wilayah) Lombok Utara sudah meragut ratusan nyawa. Setiap detik pasti ada gegaran. Bezanya berskala kecil atau besar.

Kawasan paling teruk terjejas adalah di Kecamatan (daerah) Tanjung, Bayan, Gangga, Kayangan dan Pemenang. Sejak gempa pertama pada 29 Julai, penduduk di sekitar kawasan itu hanya hidup dalam kebimbangan.

Sepanjang perjalanan saya sebagai sukarelawan solo, saya melihat terlalu banyak kemusnahan. Penduduk miskin bertambah parah, yang kaya juga turut bersedih.

Gempa menyatukan mereka semua. Tiada kaya tiada miskin. Si kaya tinggal di khemah walaupun miliki rumah bak istana. Si miskin yang bertambah parah juga tinggal di khemah di satu kawasan lapang.

Barisan doktor dari Ikatan Doktor Indonesia yang sedia memberi bantuan kecemasan

Waktu siangnya, pokok-pokok menjadi tempat teduhan kerana panas mencengkam dan pada sebelah malamnya mereka berkumpul untuk berjaga dengan unggun api sebagai pemanas kerana cuaca mencecah sehingga 12 darjah Celsius.   

Terdapat ratusan posko pusat pengungsi di sepanjang jalan. Lombok kini menjadi pusat penyatuan semua masyarakat. Semangat solidariti wujud di bumi Negeri Seribu Masjid ini.

Setiap hari ada sahaja 'mat saleh' dan 'minah saleh' datang untuk membantu mangsa gempa. Itu belum ribuan rakyat Indonesia dari segenap pelosok. Dari Jakarta hingga Merauke. Dari sukarelawan Mat Motor hinggalah mahasiswa.

Sukarelawan membantu kanak-kanak untuk melenyapkan trauma mereka.

Kini, semangat masyarakat Lombok harus dipulihkan. Amukan Rinjani masih belum berkesudahan. Laharnya masih belum muntah. Rinjani kini bagaikan sedang berehat seketika.

Saya berkesempatan bertemu dengan Ibu Baie Suriayati. Ibu hajah berusia 61 tahun yang setia menjaga kanak-kanak yatim piatu dan asnaf seramai 122 orang di Pondok Pesantren Assai’diyah, Dusun Sigar Penjalin, Lombok Utara. Ibu hajah ini sentiasa tersenyum.

"Kami kini sedang membantu 874 mangsa daripada penduduk tempatan dan 122 kanak-kanak di pondok. Kami menyalurkan keperluan logistik setiap hari sehingga mereka ada tempat tinggal.

Keperluan mendesak ketika ini ialah khemah dan keperluan bayi,” katanya.

Pelbagai aktiviti dilakukan sepanjang berada di pesantren ini.

Beralih ke cerita sukarelawan. Memegang prinsip, “kami bukan siapa-siapa tapi kami siap untuk siapa-siapa” satu ungkapan yang dicipta oleh sekumpulan remaja sukarelawan dari seluruh Indonesia.

Kehadiran mereka ini tak lain tak bukan iaitu menjadi pengubat pasca trauma kepada kanak-kanak di pesantren ini. Setiap pagi hingga ke malam mereka akan menghiburkan kanak-kanak di sini dengan pelbagai aktiviti.

Buat si tuan doktor dari Ikatan Perubatan Indonesia seramai 13 orang mereka ini sedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa.

Mereka semua sama. Tinggalnya di khemah, makannya di dapur umum. Tiada istilah jijik atau kasta antara mereka-mereka ini.

Satu tujuan, satu jiwa, inilah barisan sukarelawan yang sentiasa membantu mangsa gempa.

Menurut Doktor Fathurrahim trauma dihadapi oleh kanak-kanak dan dewasa amat berbeza.

"Buat anak-anak trauma mereka akan pulih dua, tiga bulan tetapi tidak buat yang dewasa. Mereka bakal melewati trauma ini hingga enam ke setahun," katanya.

Buat saya dan seorang lagi teman dari Singapura Nur Idani Mohd Jelani, kerja kami juga sama. Kami bantu sekadar yang mampu. Menyampaikan amanah dari rakan-rakan yang bersimpati dengan nasib mereka. Terima kasih AirAsia Foundation kerana mengecualikan bayaran bagasi.    

Nasib kami sebagai sukarelawan 50:50. Tidak timbul rasa takut. Menjejakkan kaki ke bumi yang sedang dilanda gempa umpama berserah kepada Sang Pencipta. Jika ditakdirkan kami menemui ajal, kami reda.