'MAIN kutu', biasanya individu yang menyertai skim ini mempunyai tujuan membeli sesuatu atau membuat pembayaran dalam jumlah besar.

'Permainan kutu' dilihat sebagai alternatif yang cepat bagi mencapai matlamat berkenaan, mana tidaknya kalau 10 pemain, setiap bulan RM200, sudah pasti RM2,000 dalam genggaman!

Namun, sejauh mana kesucian dan bersihnya skim ini sering jadi tanda tanya. Ada yang tanpa ragu dan ada yang dalam ragu-ragu menyertai juga dek perlukan sejumlah wang segera. Persoalan yang boleh dibincangkan ialah, bagaimana jika salah seorang peserta tidak membayar kepada ahli. Ini mungkin boleh membawa kepada wujudnya perbalahan dan pergaduhan.

Justeru, akad yang kemas perlu dilakukan jika mahu skim ini berlandaskan taa'wun (tolongmenolong) agar terelak daripada sifat gharar kerana dikhuatiri boleh membawa kepada haram menggunakannya.

IBNU Mas’ud meriwayatkan: “Nabi Muhammad SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, saksi dan penulisnya.”


Permainan kutu sering kali dikaitkan dengan masyarakat di kampung-kampung berbanding di bandar. Namun perubahan masa yang semakin mencabar kehidupan menyebabkan permainan kutu kini mula menular ke masyarakat bandar. Ini kerana kos sara hidup di bandar yang begitu tinggi memerlukan mereka bijak mengurus kewangan agar tidak dihimpit kemiskinan.

Kebiasaannya permainan kutu ini berlaku di kampung-kampung kerana masyarakatnya merancang kewangan untuk membeli barangan mahal seperti emas, perabot rumah dan sebagainya. Namun di bandar permainan kutu ini dijalankan bagi meringankan beban seseorang melalui simpanan sukarela.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, permainan kutu didefinisikan sebagai simpanan sukarela secara bersama dan berkala pada kadar yang sama.

“Skim kutu ini berdasarkan konsep taa’wun (membantu) dan pinjaman ikhlas di mana wang simpanan ini akan diperoleh setiap ahli yang terlibat dengan kontrak permainan kutu mengikut tarikh dipersetujui secara kolektif dan bayaran diterima oleh setiap ahli adalah mengikut giliran serta jumlahnya adalah sama.

“Sebagai contoh 10 penduduk Taman Dinar menyumbang dana kewangan masing-masing sebanyak RM200 pada setiap bulan selama 10 bulan berturut-turut. Ini membawa maksud setiap bulan jumlah wang yang terkumpul ialah RM2,000. Sepuluh penduduk tadi akan melakukan perbincangan secara adil dan ikhlas untuk menentukan siapa berhak menerima duit kutu paling awal dan siapakah yang terakhir. Dalam erti kata lain 10 mereka tadi akan menerima wang mengikut sistem giliran yang telah dipersetujui dalam kalangan mereka berdasarkan konsep taa'wun,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, dalam Islam setiap urusan muamalat yang berlaku mestilah berdasarkan syariah iaitu berlandaskan al-Quran, sunnah, ijmak dan kias. Maka jika dilihat secara umum melalui proses pembentukan dan operasi permainan kutu ini, ia dikatakan harus selagi mana tidak melibatkan riba.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud:“....Padahal ALLAH telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba....” (surah al-Baqarah: 275)


Tidak ada unsur riba

Beliau yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, Usim, menjelaskan, jenis permainan kutu yang dibolehkan ialah permainan kutu yang tidak melibatkan unsur penindasan (riba) dan juga meragukan (gharar) semasa pelaksanaan permainan ini. Selain itu ia mestilah memenuhi tuntutan syariah.

“Jenis permainan kutu yang tidak boleh ialah permainan kutu yang melibatkan unsur penindasan (riba) dalam kalangan ahli dan juga mempunyai unsur meragukan (gharar) semasa pelaksanaan seperti penentuan giliran penerimaan wang kutu bagi setiap ahli, kaedah bayaran dan kutipan serta masa pembayaran yang tidak jelas, selain tidak memenuhi tuntutan syariah.

“Asas hukum kepada permainan kutu ini adalah harus selagi mana ia tidak melibatkan unsur riba dan gharar (ketidakpastian). Namun begitu bagi memastikan konsep keharusan ini mencerminkan Islam itu adil, maka pekerja yang menganjurkan kutu itu mestilah seorang yang mempunyai ciri-ciri amanah dan ahlinya juga mesti mempunyai ciri yang sama,” katanya.

Faisol berkata, permainan kutu ini juga mestilah mempunyai kontrak perjanjian di antara ahli bagi memastikan semua ahli berpuas hati dengan operasi dan sistem giliran permainan agar masing-masing mendapat hak sama.

Menurutnya, setiap ahli mestilah terikat dengan kontrak permainan kutu ini, antaranya membayar wang kutu mengikut tempoh ditetapkan. Sekiranya semua yang dinyatakan di atas dipatuhi maka ia dianggap harus dan tidak berjudi kerana semuanya adalah jelas dan tidak meragukan serta dijamin melalui akad yang termeterai dalam kalangan ahli.

Namun permainan kutu ini dianggap judi jika tarikh penerimaan wang kutu dalam kalangan ahli tidak ditetapkan semasa pelaksanaan permainan ini.  


Cara Baginda, sahabat urus wang

Rasulullah SAW adalah seorang yang hebat dan unggul dalam apa jua bidang yang Baginda SAW ceburi. Kehebatan dan keunggulan Rasulullah SAW ini dapat digambarkan melalui teori FAST iaitu F–fathanah (bijaksana), A-amanah, S-siddiq (benar) dan T-tabliq (menyampaikan).

Maka tidak hairanlah semasa kehidupan Baginda SAW dahulu, transaksi simpanan wang hanya dibuat oleh mereka yang ada harta dan simpanan dengan mereka yang beramanah tinggi.

Ini kerana institusi perbankan masih belum wujud ketika itu. Maka sebelum Baginda SAW diutuskan menjadi Rasul, Baginda SAW terkenal dengan sifat amanah yang tinggi. Baginda SAW akan menyimpan segala deposit yang dibuat oleh orang ramai sehinggalah pada saat terakhir sebelum Baginda SAW berpindah dari Makkah ke Madinah di mana Baginda SAW melantik Saidina Ali bin Abi Thalib untuk memulangkan segala simpanan itu kepada tuan punya hak. Simpanan yang dibuat sebelum dan selepas kerasulan Baginda SAW adalah bertujuan keselamatan dan bukan mengaut keuntungan.

Begitu juga dengan seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Az-Zubair al-awwam yang  mentransformasikan konsep simpanan kepada bentuk pinjaman, di mana Az-Zubair tidak lagi sanggup menerima wang daripada orang ramai dalam bentuk simpanan kerana bimbang kehilangan wang tersebut adalah menjadi tanggungjawabnya.

Akhirnya konsep simpanan tadi telah ditukar kepada pinjaman yang akhirnya membolehkan Az-Zubair mempunyai hak untuk menggunakannya kerana peminjam bertanggungjawab memulangkan semula apa yang dipinjamkan. Begitu juga dengan anaknya yang bernama Abdulla Az-Zubair yang selalu mengambil wang daripada orang ramai di Makkah lalu di tulisnya pengesahan penerimaan wang tersebut sebagai bukti untuk dituntut oleh tuan punya milik nanti.


Permainan kutu di harusk an berdasarkan:

  • Jumlah yang disumbangkan/disimpan oleh setiap ahli adalah sama.
  • Jumlah diterima adalah sama dalam kalangan ahli.
  • Wujudnya sistem penerimaan jumlah wang yang disumbangkan secara giliran serta adil dan disepakati dalam kalangan ahli.
  • Tidak wujud unsur-unsur riba iaitu tidak terdapat seorang pun yang membayar lebih daripada ahli lain.
  • Tiada unsur gharar ataupun ketidakpastian iaitu tarikh ataupun masa penerimaan jumlah wang yang disimpan oleh ahli akan diberikan kepada ahli mengikut masa dan tarikh yang telah dipersetujui melalui musyawarah (persetujuan bersama mengikut sistem giliran).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.