• Pokok timun di Blok A yang baru berusia dua minggu. Pokok timun di Blok A yang baru berusia dua minggu.
  • Shahrom Tumiran Shahrom Tumiran
  • Selain ladang timun, Shahrom juga mengusahakan tanaman rock melon di Sementa, Klang. Selain ladang timun, Shahrom juga mengusahakan tanaman rock melon di Sementa, Klang.
  • Pegawai Fama, Halina Yahuza menunjukkan timun hasil tuaian dari ladang kontrak Shahrom. Pegawai Fama, Halina Yahuza menunjukkan timun hasil tuaian dari ladang kontrak Shahrom.
1 /

Sistem penggiliran tanaman (crop rotation) ialah pengaturan tanaman yang sistematik pada suatu tempat dan biasa dilakukan oleh petani serta mengambil tempoh di antara dua hingga lima tahun.

Tujuannya adalah untuk memperbaiki struktur dan kesuburan tanah, menambah hasil bagi setiap keluasan tanah, menjaga kesuburan tanah, memperbaiki tekstur tanah, menghindari peledakan hama dan penyakit tanaman.

Walau bagaimanapun, bagi petani yang mengamalkan sistem penggiliran tanaman ini, pemilihan jenis tanaman memainkan peranan yang penting. Ini kerana, jika pemilihan dan penggunaan jenis tanaman adalah salah, ia berupaya menurunkan hasil tanaman berikutnya.

Sistem ini, turut diamalkan oleh Shahrom Tumiran, 44, terhadap tiga jenis tanaman yang diusahakannya iaitu tanaman timun, rock melon dan cili melalui kaedah fertigasi terbuka sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, konsep asal bagi ladang yang diusahakannya adalah 'satu tanaman satu ladang' namun mengubahnya kepada dua jenis tanaman pada satu musim di sebuah kawasan demi mendapatkan pensijilan Sijil Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) daripada Jabatan Pertanian.

“Walaupun tanaman rock melon mendatangkan keuntungan, namun kita tidak boleh menanamnya secara berpanjangan kerana kita perlu menjaga persekitaran daripada aspek serangan makhluk perosak.

“Oleh itu, kita perlu membuat kitaran dengan tanaman lain seperti timun dan cili bagi mengelakkan serangga yang sama menyerang tanaman rock melon dan menimbulkan masalah lain,” katanya kepada InfoAgro.

Selain mengamalkan sistem penggiliran tanaman, Shahrom juga menggunakan kaedah fertigasi terbuka bagi setiap tanaman yang diusahakannya itu.

Katanya, kaedah fertigasi tidak memerlukan ruang yang luas untuk dipraktikkan kerana medium tanaman fertigasi hanya menggunakan sebuah beg plastik yang berisi tanah dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan.

“Kaedah fertigasi memudahkan untuk menyelenggarakan dan tanamannya juga tersusun selain mampu mendapatkan hasil berkualiti serta keuntungan lumayan berbanding kaedah konvensional.

“Apa yang penting, sayur-sayuran dan buah-buahan yang dihasilkan melalui kaedah ini lebih bernilai tinggi kerana ia ditanam dan dikendalikan secara sistematik,” katanya.


Tanaman timun

Ketika ini, Shahrom sedang menuai hasil tanaman timun yang disemai kira-kira tiga bulan lalu di atas tanah berkeluasan satu hektar (2 ½ ekar) di Meru, Klang.

Menceritakan mengenai tanaman timunnya itu, beliau berkata, timun biasanya disemai dalam tujuh hingga ke lapan hari sebelum dipindahkan ke dalam polibeg dan mengambil masa selama 40 hingga 45 hari sebelum dituai. “Untuk timun sahaja, hasil tuaian mampu dicapai sehingga 27 tan bagi satu musim dan ia mampu menjana pendapatan RM33,000.

“Namun begitu, saya menghadapi masalah untuk memenuhi permintaan timun di pasaran lantas terpaksa mengehadkan pengeluaran bagi memastikan segala permintaan dapat dipenuhi,” katanya sambil memberitahu modal permulaannya ialah RM20,000 bantuan daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Shahrom telah membahagikan ladang tanaman timunnya itu kepada tiga kelompok iaitu blok A (1,200 pokok), B (4,600 pokok) dan C (3,000 pokok) yang ditanam secara berperingkat.

“Bagi aktiviti penuaian yang sedang dijalankan ini, kita cuma ambil pengeluaran di blok B yang melibatkan 4,600 pokok.

“Aktiviti tuaian bermula pada 6 Mac lalu, dengan tuaian pertama sebanyak 160 kilogram (kg) melonjak kepada 260kg pada hari kedua dan menjangkakan hasil tuaian tersebut akan semakin meningkat sehingga 720kg pada hari-hari berikutnya,” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada hasil timun dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melalui program Ladang Kontrak mengikut gred yang telah ditetapkan.

Melalui program tersebut, Fama menetapkan kuantiti tertentu dalam membeli dan memasarkan hasil beliau dan selebihnya akan dijual sendiri.

Selain itu, sayur timun beliau turut dipasarkan di pasar borong Klang di samping dibeli oleh pemborong tetap.

“Biasanya hasil tuaian, kita akan bahagikannya pada dua, satu bahagian dijual pada Fama dan satu bahagian lagi dijual sendiri.

Kita tidak akan ‘putuskan’ pembahagian ini kerana ia juga merupakan kepentingan untuk kita dalam memasarkan hasil,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang memikirkan untuk terus menyambung hasil pengeluaran timun agar tidak putus bagi satu tempoh jangka panjang dengan merancang untuk meluaskan kawasan tanaman tersebut.

“Kita sedang mencari satu tapak yang agak luas dan ia berkemungkinan besar akan dilakukan di Perak lantaran agak sukar mendapatkan tanah di kawasan Lembah Klang,” katanya yang mempunyai sembilan pekerja.


Terima SALM, SOM

Menarik tentang usahawan dari Bukit Kapar, Klang ini adalah apabila beliau satu-satunya petani dari Klang yang berjaya memperoleh SALM dan Pensijilan Skim Organik Malaysia (SOM) daripada Jabatan Pertanian pada tahun lalu.

SALM ialah satu skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian untuk memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) berkonsepkan mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

SOM pula ialah sebuah program pensijilan yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian untuk mengiktiraf ladang yang diusahakan secara organik mengikut kriteria dan keperluan yang telah ditetapkan.

“Pengiktirafan ini adalah sebagai kemuncak kepada kejayaan kerana untuk menerima kedua-dua sijil ini bukanlah satu perkara yang mudah disebabkan banyak yang perlu dinilai dan diteliti,” katanya.

Ketika ditanya rahsia kejayaannya itu, Shahrom berkata, berdisiplin menjadi tunggak utama dalam mencapai kecemerlangan dalam sesuatu perkara.

“Perbuatan dan amalan kita perlulah sekata, baru segala yang dirancang menjadi kenyataan. Jangan asyik bercakap sahaja, tetapi apa pun tidak buat, itu memang susahlah,” nasihatnya.

Katanya lagi, segala ilmu yang dicurahkan seperti khidmat nasihat oleh mana-mana pihak seperti Fama atau Jabatan Pertanian hendak diikuti selain bimbingan dan pantauan yang tidak putus-putus daripada pihak berkenaan.

Dalam pada itu, mengenai perancangan akan datang, Shahrom berkata, beliau akan meningkatkan hasil tanaman dengan memberi lebih fokus di samping peka dengan keperluan dan kehendak pasaran.

Selain itu, beliau juga sedang mengemas kini prosedur operasi bagi mendapatkan hasil berkualiti dan berbincang dengan pelanggan untuk meningkatkan nilai barangan. “Apa yang penting, kita mesti mempunyai komitmen dalam bidang pertanian dan apabila terbukti maka ia akan menarik perhatian pelbagai pihak untuk melakukan kerjasama yang semestinya akan menguntungkan,” katanya.