• Sirat al-Mustaqim Sirat al-Mustaqim
1 /

PERHIMPUNAN seluruh manusia di padang mahsyar, timbangan amal di Mizan, melintasi titian sirat dan telaga al-kausar semuanya adalah sebahagian daripada perkara ghaib atau sam’iyat yang wajib diimani sepenuh hati oleh umat Islam tanpa keraguan walau sedikit pun.

Hal ini termaktub dalam ketetapan ALLAH SWT: “(Iaitu) orang-orang yang mengimani akan perkara-perkara yang ghaib.” (Surah al-Baqarah: 3)

Acap kali disebut dalam al-Quran

Eksekutif Komunikasi Korporat di Lembaga Zakat Selangor, Ustaz Hamizul Abdul Hamid berkata, dalam al-Quran mahu pun hadis memang disebut mengenai sirat. Tetapi ada yang tidak tahu apa itu sirat.

“Dari aspek bahasa, sirat bermakna jalan atau laluan atau dalam bahasa Inggerisnya ia disebut path. Jika merujuk kepada Kamus Dewan, sirat turut dinyatakan sebagai jambatan atau titian (halus) yang melintasi neraka untuk ke syurga.

“Menyingkap konteks sebenarnya, sirat adalah satu laluan yang wajib dilalui oleh seluruh manusia di akhirat kelak dalam perjalanan kita menuju ke syurga ALLAH. Hanya orang beriman dan bertakwa akan berjaya melintasinya manakala golongan musyrik, kufur dan pelaku dosa tidak akan berjaya melintasinya,” katanya yang juga penulis buku keagamaan terbitan Karya Bestari ini.

Menurutnya, dalam al-Quran itu sendiri terdapat 32 tempat daripada 21 surah yang menyebut kalimah sirat. Bahkan kalimah sirat turut menjadi bacaan wajib di dua tempat dalam surah al-Fatihah ketika solat, iaitu pada ayat enam dan tujuh, yang bermaksud: “Tunjuklah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka; bukannya (jalan) bagi orang-orang yang Engkau murkai dan bukan juga (jalan) bagi orang-orang yang sesat.”

Suasana dalam kegelapan

Dalam surah Maryam iaitu pada ayat 68 hingga 72, ALLAH menggambarkan keadaan umat manusia pada hari pembalasan kelak. Pada saat itu, semua manusia, sama ada Muslim atau kufur akan dihimpunkan di padang Mahsyar dan kemudiannya akan melalui sebuah titian disebutkan sebagai ‘sirat al-mustaqim’ yang merentangi neraka Jahanam.

Hamizul menjelaskan, ALLAH juga menyatakan bahawa hanya yang beriman dan bertakwa akan diselamatkan serta mereka yang kufur dan ahli maksiat akan dibiarkan (ditarik) masuk ke dalam neraka oleh pengait-pengait berduri dari dalam neraka.

“Pernah seorang Yahudi mendatangi Nabi Muhammad SAW dan bertanya: “Di mana manusia (akan) berada pada hari pergantian bumi dan langit dengan bumi dan langit yang lain (yakni selepas kiamat berlaku dan manusia berada di Padang Mahsyar)?’ (Maka) Rasulullah menjawab: “Mereka berada dalam kegelapan, dekat suatu jambatan (sirat).”

Yahudi (bertanya lagi): “Siapakah orang yang mula-mula (akan) melalui jambatan itu?” Rasulullah menjawab: “Kaum Muhajirin yang miskin-miskin (dan merekalah yang mula-mula memasuki syurga).” (Riwayat Muslim daripada Tsauban)

“Ramai yang bertanyakan mengenai keluasan sirat ini? Suka saya bawakan satu kisah, pernah Siti Aisyah bertanya kepada Nabi, di manakah semua manusia berada pada hari kiamat nanti, dan Baginda menyatakan: “(Semua manusia) berada di atas jambatan neraka Jahanam.” (Riwayat Tirmizi),” cerita Hamizul lagi.

Menurutnya, sirat ini amat luas kerana mampu menempatkan semua manusia di atasnya. Walau bagaimanapun, keadaan manusia pada ketika itu amat membimbangkan. Suasananya dalam kegelapan, manusia yang ramai berada dalam keadaan bersesak-sesak dan semua orang berasa takut termasuklah para nabi sendiri dan berharap dapat melintasi sirat dengan selamat.

Ketika itu, semuanya bergantung kepada iman dan amal soleh semasa di dunia. Itulah yang mampu menyelamatkan diri daripada ujian sirat tersebut. Jika pelaku dosa, maka sirat menjadi bencana bagi mereka kerana pasti terjatuh ditarik ke dalam neraka.

Di tengah-tengahnya neraka

Hamizul berkata, mengenai kedudukan titian sirat itu, dipercayai berada di antara padang mahsyar menuju ke syurga dan di tengah-tengahnya adalah neraka.

“Kita boleh membayangkan, andaikan kita berada di Seberang Perai menuju ke Georgetown di Pulau Pinang dan perlu melalui jambatan Pulau Pinang yang di bawahnya adalah lautan yang sangat dalam dan luas.

“Bayangkan tiba-tiba jambatan itu bergegar kerana gempa bumi dan kita hampir terjunam masuk ke dalam lautan yang sangat luas dan dalam itu, maka lebih dahsyat lagi di atas sirat, kerana di bawahnya adalah neraka yang apinya menyala-nyala dan kedalamannya juga tidak terkira. Setakat pengetahuan saya juga, tidak ada nama lain diberikan selain daripada sirat,” katanya.

Menurutnya, Ibnu Katsir dalam tafsirnya ada menyatakan, kelajuan seseorang manusia melalui sirat ini adalah tergantung kepada amal ketakwaannya semasa hidup di atas dunia. Orang yang beriman dan bertakwa, meninggalkan perbuatan dosa, mentaati segala suruhan ALLAH, maka pastilah mereka mampu melintasinya dengan cepat.

Secepat manakah kelajuannya? Inilah yang disebutkan oleh sesetengah riwayat, ada yang secepat kilat, kuda yang berlari dan sebagainya.

Di dalam sebuah hadis, Qutaibah pernah melaporkan: “Lalu orang-orang Muslimin berdiri dan jambatan (sirat) diletakkan, kemudian mereka melalui di atasnya seperti larinya kuda yang bagus dan penunggang kuda (yang pandai).” (Riwayat Tirmizi)