Sifat malu pakaian iman
$entry.content.caption.value

Si gadis berborak, melepak sampai pagi buta. Adakah ini kesan modenisasi dan materialisme? Apakah bertemu lelaki bukan mahram tanpa ada keperluan tertentu pada masa yang tidak sesuai itu dianggap perkara biasa?

 Kini fenomena remaja berpelukan dan bercumbuan khalayak ramai juga berlaku tanpa segan silu. Ini termasuk sebilangan remaja Melayu beragama Islam, tidak kira bertudung atau tidak. Di laman sosial seperti Facebook pula bercakap perkara yang bukan-bukan. Mencarut dan memaki hamun sudah jadi kebiasaan. Sesetengah mengisytiharkan berkahwin dengan si dia sedangkan mereka hanya berkawan biasa.

Ini berlaku kerana kekurangan satu daripada cabang iman iaitu perasaan malu. Orang yang memiliki sifat malu biasanya tahu batas. Hargai jasa ibu bapa yang mengasuh anda dan guru yang mendidik sejak kecil. Amat malang jika matlamat duniawi mendahului ukhrawi.


Akibat perbuatan

Kebiasaan meremehkan peraturan agama dan larangan ibu bapa tidak kira dosa kecil atau besar menyebabkan seseorang semakin jauh daripada hidayah. Sikap semberono menyebabkan mereka terjerumus kesalahan dan dosa lebih besar seperti berzina. Apabila mengandung timbul pula rasa takut atau keliru. Selepas melahirkan bayi, dosa besar lain pula dilakukan. Bayi jadi mangsa dibuang atau ditinggalkan bagaikan sampah.

Jika ini berlaku, siapa yang malu? Sudah tentu orang yang paling hampir iaitu ibu bapa. Kalau buang bayi di tandas sekolah, seluruh pihak sekolah menanggung malu. Bagaimana dengan diri yang melakukan kesalahan itu? Terdapat dua kemungkinan; Mungkin mereka berasa sangat malu dan jika jenis muka tembok, mereka tidak rasa bersalah.
Bayangkanlah bagaimana generasi yang sudah hilang rasa malu ini dengan tingkah laku ala orang Barat atau tabiat binatang jika mereka menjawat jawatan penting dalam alam pekerjaan. Keperibadiannya bermanifestasi dalam tindak-tanduknya. Na’uzubillah.

Ada yang mengaku bersekolah agama tetapi penampilan dan perangai langsung tidak selari dengan pendidikan yang diterimanya. Ada yang berkecimpung jadi peneraju persatuan Islam ketika di bangku universiti dan seterusnya di alam pekerjaan, tiba-tiba muncul beberapa kali sebagai juara talam bermuka dua dan dicap kaki maksiat. Yang bikin filem pula menyuntik unsur lucah ala barat seperti adegan ranjang konon dengan alasan garapan seni!


ALLAH cinta sifat malu

ALLAH SWT bersifat Maha Pemalu dan Dia mencintai rasa malu. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis sahih maksudnya “Sesungguhnya ALLAH Azza wa Jalla Maha Pemalu, Maha Menutupi, Dia mencintai rasa malu dan ketertutupan. Apabila salah seorang daripada kalian mandi, maka hendaklah dia menutup diri.” (Riwayat Abu Dawud, An Nasai dan Ahmad).

Terdapat dua jenis rasa malu. Yang pertama adalah rasa malu kepada ALLAH dan yang kedua ialah rasa malu sesama manusia. Rasulullah menjelaskan rasa malu kategori pertama maksudnya, “Malulah kalian kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya”. “Kami sudah malu wahai Rasulullah”, jawab para sahabat. Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud, “Bukan demikian namun yang dimaksudkan malu kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya adalah memelihara kepala dan anggota badan yang terletak di kepala, memelihara perut dan anggota badan yang berhubungan dengan perut, mengingat kematian dan saat badan hancur dalam kubur. Siapa yang menginginkan akhirat harus meninggalkan kesenangan dunia. Siapa yang melakukan hal tersebut maka dia telah merasa malu dengan ALLAH dengan sebenar-benarnya.” (Riwayat Tirmidzi dan lain-lain, dinilai hasan kerana ada riwayat penguat seperti dinyatakan oleh Al Albani dalam Shahih Jami’ Shaghir - no. 935).

 Dalam hadis di atas, Rasulullah menjelaskan bahawa tanda memiliki rasa malu kepada ALLAH adalah memelihara anggota badan agar tidak digunakan untuk bermaksiat kepada ALLAH, mengingat kematian, tidak panjang angan-angan di dunia ini, tidak sibuk dengan kesenangan syahwat serta tenggelam dalam kenikmatan kehidupan dunia sehingga lalai melakukan ibadah untuk persediaan akhirat.


Malu sesama manusia

Rasa malu yang kedua iaitu malu sesama manusia merupakan sejenis sifat yang mencegah seseorang untuk melakukan perbuatan yang tidak senonoh. Mereka mengekang diri daripada melakukannya kerana mereka mudah merasa tidak tenteram jika ada orang lain mengetahui kekurangan dirinya.

Rasa malu sesama manusia akan mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan yang buruk dan akhlak yang hina. Sedangkan rasa malu kepada ALLAH akan mendorong untuk menghindari semua larangan-Nya dalam setiap keadaan, baik ketika bersama orang ramai ataupun ketika bersendirian.

Rasa malu kepada ALLAH adalah antara bentuk ta’abud (perhambaan) dan rasa takut kepada-Nya. Ini merupakan hasil mengenal ALLAH dan mengagungkan-Nya secara benar. Mereka yang memiliki sifat malu ini sentiasa menyedari bahawa ALLAH sentiasa bersama hamba-Nya serta mengawasi perilaku mereka.

Rasa malu kategori ini dikatakan sebagai tanda tahap keimanan tertinggi dengan darjat ihsan yang paling utama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ihsan adalah beribadah kepada ALLAH seolah-olah kamu melihat ALLAH. Jika engkau tidak melihat-Nya, Dia melihat kamu.” (Riwayat Bukhari)

Sebahagian orang arif daripada golongan salaf mengatakan, “Sesiapa yang beramal kerana ALLAH SWT seakan-akan dia melihat-Nya maka dia adalah orang yang arif dan sesiapa yang beramal disebabkan Allah melihat-Nya maka dia adalah orang yang ikhlas.” Jadi sifat malu secara kerohanian adalah amat berkait rapat dengan keikhlasan keimanan seseorang.

 Ibu bapa adalah orang yang paling bertanggungjawab dalam pembentukan karakter dan keperibadian islamik anak. Masa permulaan paling baik ialah ketika bayi dalam kandungan dengan melakukan aktiviti kehidupan harian dan kerohanian yang selari dengan tuntutan agama Islam.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.