Siapkan diri jadi pemimpin
$entry.content.caption.value

MOTO pemuda tiang negara pemudi harapan bangsa menjadi laungan setiap pemimpin di mana-mana negara sekalipun. Situasi itu jelas membuktikan betapa besarnya peranan golongan belia dalam memastikan keutuhan dan kemegahan sesebuah negara mencakupi pelbagai aspek termasuk agama.

Akademi Islam dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (UM) dan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bangkit merealisasikan laungan tersebut dengan mengadakan Brotherhood Muslim Camping 2012 yang berlangsung pada 21 dan 22 Januari di Lopo Blue River, Hulu Langat, Selangor.

Program bersempena cuti semester awal tahun itu melibatkan hampir 150 peserta terdiri daripada penuntut tahun satu semua fakulti. Penganjuran aktiviti tersebut untuk memberi kefahaman dan penghayatan Islam sebenar kepada mahasiswa, di samping menerapkan nilai akhlak individu Muslim.

Berkonsepkan gabungan modul in door dan out door, peserta diberi pengisian ilmu oleh dua Imam Muda iaitu Imam Muda Fakhrul Hassan bertajuk Islam Is The Way of Life, Imam Muda Mohd Hassan Adli Yahaya dengan Aku Terima Jalannya (Islam) dan penceramah daripada bahagian Dakwah Jakim, Mohd Hariri Mohamad Daud menyampaikan pengisian berkaitan isu-isu aqidah dan remaja.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jamali Mohd Adnan, objektif utama program antaranya meningkatkan kefahaman Islam kepada golongan elit seperti mahasiswa dalam melahirkan mahasiswa Islam yang berilmu, berakhlak dan bertakwa selain mampu menjadi front liner dakwah di Malaysia.

“Mahasiswa adalah golongan penggerak dan pemimpin masa hadapan (future leader) yang harus diberi bimbingan serta menyerlahkan potensi diri mereka bagi diangkat menjadi pemimpin, seterusnya bersedia membimbing masyarakat di luar kampus,” katanya.

Peserta berpeluang mengikuti aktiviti luar seperti merentasi halangan, meredah hutan, berjalan malam dan survival diri untuk menguji ketahanan fizikal dan mental kerana ia melatih semangat berpasukan. Ternyata aktiviti lasak banyak memberikan kesan positif dalam pembinaan personaliti diri.
Program itu dirasmikan wakil Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UM, MS Ramlee.
 
(Sumber: Portal Jakim)


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.