DEPRESSI atau kemurungan merupakan salah satu penyakit yang kini banyak melanda orang ramai. Dari segi saintifiknya, 'Major depressive disorder' (penyakit kemurungan) ini merupakan satu penyakit mental yang serius dan memberi kesan negatif pada diri individu.

Ia boleh mempengaruhi emosi, cara berfikir dan juga sikap individu dan merubahnya menjadi orang lain. Kemurungan juga menyebabkan individu tersebut berasa sedih dan hilang minat terhadap aktiviti yang disukai.

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kematian vokalis kumpulan Linkin Park, Chester Bennington dipercayai menggantung dirinya setelah bergelut dengan kemurungan sekian lamanya 20 Julai lalu.

Insiden ini membuka mata orang ramai betapa pentingnya penyakit kemurungan yang juga boleh menyebabkan kematian apabila tidak dirawat.

Bagaimanapun, penyakit ini sebenarnya boleh dirawat jika dapat dikenal pasti dari awal, justeru itu, Sinar Online kongsikan 10 tips menghadapi depressi.

1. Jumpa pakar terapi

Di saat kemurungan, anda perlukan seseorang untuk berbual dan meluahkan perasaan tanpa dihukum, oleh itu, pakar terapi adalah jawapannya. Kongsi apa yang anda rasakan, mungkin dengan cara itu, anda akan berasa lega.

Usah fikirkan pandangan orang ramai terhadap individu yang berjumpa pakar terapi kerana setiap orang mempunyai masalah masing-masing.

2. Tulis diari

Pastikan anda mempunyai diari untuk anda tulis segala perasaan anda tidak kira gembira, sedih, marah atau apa sahaja, melalui cara itu juga, anda boleh melepaskan apa yang terbuku di hati.

Manalah tahu, anda mempunyai bakat menulis dan dapat membantu orang lain dalam berdepan dengan masalah yang sama.

3. Tingkatkan keyakinan diri

Individu yang mempunyai masalah kemurungan selalunya mempunyai keyakinan diri yang kurang, oleh itu, apa kata anda cuba ubah imej anda.

Mungkin dengan imej yang baru juga dapat menaikkan keyakinan sekaligus membuatkan anda rasa hebat dengan diri sendiri.

4. Jangan asingkan diri

Jangan asingkan diri daripada masyarakat, cuba melibatkan diri dalam aktiviti sebaik mungkin, di samping itu, rajinkan diri sertai program sukarelawan supaya dapat berinteraksi dengan orang ramai.

Jika anda terus berjauhan dengan orang, perasaan lebih sukar untuk dikawal dan rasa kesedihan serta bersendiri itu akan lebih dirasai membuatkan anda murung, sebab itulah lebih baik jika anda berada di dalam kelompok ramai.

5. Buat jadual

Buat satu jadual dan laksanakannya. Dengan cara ini, anda mempunyai tujuan untuk bangun pagi setiap hari, tidaklah rasa kosong dan tidak bersemangat untuk menjalani hidup.

6. Tidur secukupnya

Mendapat tidur secukupnya sangat baik untuk kesihatan, minda dan badan akan berasa segar dan bersedia untuk menjalani hari itu.

Lagipun, badan yang lesu akan mempengaruhi pemikiran membuatkan individu berasa lemah dan tidak bersemangat.  

7. Bergantung pada orang lain

Ahli keluarga dan sahabat boleh membantu saat anda kemurungan dalam memberikan sokongan kepada diri anda, tidak mengapa jika anda tumpang bersandar di bahu ahli keluarga di saat memerlukan.

Selain itu, anda juga boleh menyertai kumpulan sokongan bersama orang yang menghadapi kemurungan supaya boleh berkongsi kisah yang anda lalui.

8. Bersenam

Tahukah anda bahawa bersenam membantu mereka yang menghadapi kemurungan? Aktiviti fizikal boleh melegakan stress seterusnya membuatkan anda berasa hebat.

Tambahan pula,kepuasan apabila dapat menamatkan sesuatu senaman boleh meningkatkan keyakinan anda serta membuatkan tubuh badan lebih kuat dan fit.

9.Jaga pemakanan

Makan makanan yang sihat boleh membuatkan anda berasa sihat, fit, menarik serta turut meningkatkan keyakinan diri .

Manakala, badan yang tidak sihat akan memburukkan lagi kemurungan dan membuatkan anda berfikiran negatif.

10. Alkohol tidak menyelesaikan masalah

Jangan sesekali berpaling pada alkohol dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebenarnya, alkohol ini lebih memburukkan simptom kemurungan.

Gaya hidup yang sihat merupakan jawapan untuk mengatasi kemurungan serta jauhi daripada dadah dan juga alkohol.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.