• Seorang ibu mungkin lemah Seorang ibu mungkin lemah
1 /

SOALAN:
Kebanyakan anak hari ini berani mengetepikan ibu bapa yang banyak berkorban untuk mereka. Hakikatnya, ibu bapa tidak pula mengharapkan sekelumit kejayaan sebagai balasan. Sebaliknya, cukup kasih sayang berpanjangan daripada anak-anak selagi hayat masih ada. Justeru, apakah motivasi agar setiap anak sentiasa mencintai ibu bapa tanpa batasan?

JAWAPAN:
Kedudukan ibu bapa sangat tinggi dan mulia. Mereka mempunyai hak ke atas anak untuk berlaku baik, taat dan menghormati mereka. Selain itu, semua agama memerintahkan setiap anak agar berbakti kepada kedua orang tua, lebih-lebih agama Islam.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman : 14)

Al-Quran menempatkan kewajipan berbuat baik kepada orang tua pada urutan kedua setelah kewajipan taat kepada ALLAH. Dalam kitab berjudul ‘Dosa-Dosa Besar’ (Al-Kabaa’ir) tulisan Imam Muhammad bin Ahmad bin Usman Adz-Dzahaby, dosa menderhakai ibu bapa adalah jajaran dosa utama daripada 70 dosa besar.

Seorang ibu sanggup tidak tidur malam demi menjaga anaknya, bahkan sehingga kering air susu mereka. Itu belum lagi anaknya menderita sakit. Dialah yang memandikannya, mengelap kencing, membersihkan najis, menggantikan lampin, menggosok daki di tubuh, memakaikan pakaian, menidurkan dan menyuapkan makanan.

Seorang ibu tidak senang duduk apabila menyedari si anak belum pulang pada waktu yang biasa mereka berada di rumah. Hati tidak akan tenteram sehingga anaknya benar-benar selamat. Naluri seorang ibu sangat menakjubkan. Misalnya apabila berlaku perkara tidak diingini ke atas mereka, saat itu ibulah terlebih dahulu yang merasainya.

Seorang ibu juga belum puas sehingga didapati anaknya telah kenyang dan tidur dengan lena. Dia juga yang menghalau nyamuk biar pun seekor, membacakan buku cerita dan kisah dongeng menarik sebelum mereka tidur.

Ibu jugalah yang menghibur, membuai, menyanyi dan mendodoikan. Seorang ibu khusyuk dalam setiap solatnya lalu berdoa menadah tangannya agar anak cemerlang dalam kehidupan.

Sememangnya di sebalik kejayaan dan kecemerlangan seorang anak (hatta seorang lelaki bernama suami pun) wujud suatu ‘kuasa’ pendorong yang mengiringi keberhasilan mereka, iaitu melalui doa restu yang tidak putus-putus daripada seorang ibu. Ungkapan tangan yang mengayun buai ialah tangan yang menggoncang dunia bukanlah main-main atau diucapkan semena-mena.

Tidak salah apabila Ralph Waldo Emerson, antara pemikir dan sasterawan paling berpengaruh Amerika mengatakan bahawa manusia adalah apa yang dibentuk oleh ibu mereka. Pada kesempatan lain dia mengatakan, “Ukuran paling tepat mengenai tamadun ialah sejauh mana tebalnya pengaruh wanita yang baik.”

Sementara Ratu England, Ratu Elizabeth 1, anak Raja Henry VIII, pada era pemerintahannya dianggap zaman keemasan England berkata, “Saya tahu saya mempunyai badan yang lemah tetapi saya memiliki hati seorang raja.”

Pengorbanan ibu, ayah

Biar dikatakan wanita itu golongan yang lemah, namun dari rahim merekalah lahirnya insan hebat di muka bumi ini termasuk golongan nabi ataupun segagah-gagah panglima perang di medan perang, penakluk atau ulama terbilang sekalipun.

Di sebalik kecerdasan dan kemasyhuran Imam Syafie ialah peranan yang dimainkan oleh ibunya. Imam Syafie menjadi anak yatim sejak kecil. Kehidupan ekonominya sangat susah tetapi itu tidak membuatkan ibunya menyerah untuk memelihara dan mendidiknya meskipun suaminya telah pergi lebih dahulu.

Ibunya menyusun rencana besar iaitu memutuskan Syafie harus dibawa ke Makkah, seterusnya berguru dengan golongan ulama di Masjidil Haram dan Madinah. Dari sanalah tahap demi tahap perjalanan hidup Imam Syafie menjadi luar biasa.

Apa pula peranan seorang ayah? Tugasnya ialah melindungi, mendidik dan mencukupkan keperluan ekonomi keluarga sehingga kehidupan menjadi lancar. Seorang ayah akan menyekolahkan si anak, menghantar mereka ke kelas tuisyen, menyediakan buku dan menyediakan belanja harian. Ada kalanya tanpa rehat yang mencukupi lebih-lebih lagi pada zaman sekarang.

Kepuasan sebenar seorang ayah adalah saat dia dapat mencium pipi serta hidung si anak, mendengar dia berceloteh, mendengar dia memanggil ayah, papa, abah atau sebagainya ketika pulang dari pekerjaan yang melelahkan.

Jika kasih dan cinta seorang ibu tiada batasnya; kecintaan, kasih, kerinduan, kenangan, harapan, kehangatan dan ingatan seorang ayah terhadap anaknya juga tidak pernah pudar.

Ibu bapa tidak mendambakan wang ringgit dan kemewahan, bahkan bukan itu yang mereka mahu dan inginkan. Yang menjadi cita-cita dan hasrat mereka ialah melihat zuriat cemerlang dalam kehidupan, menjadi seorang Islam yang taat dan mempunyai kerjaya masa depan yang menjanjikan. Jika ada untuk manfaat peribadi sendiri, hanyalah doa dan amal jariah anak setelah mereka pergi dari dunia ini kelak.

Tidak ada ibu bapa yang mahukan anak mereka gagal. Biar pun mereka sendiri tidaklah sehebat mana, hatta cuma seorang petani miskin nun jauh di pedalaman. Atau hanya seorang nelayan yang merempuh ombak dan badai di tengah lautan demi meraih beberapa ekor ikan yang akan ditukarkan kepada ringgit dan sen untuk membiayai keperluan makan minum keluarga.

Jaga nama baik

Ibu bapa sangat mengharapkan agar anak memelihara maruah serta nama baik keluarga. Betapa bangganya jika anak benar-benar ‘menjadi orang.’ Mempunyai anak yang taat beragama, berwibawa, pandai membawa diri, pandai bergaul, pandai mengambil hati orang tua, baik akhlak dan terkenal budi bahasa.

Disebut-sebut dalam kalangan guru yang mengajar dan berpekerti mulia di kalangan jiran. Sebaliknya kedua orang tua amat bimbang jika zuriat mereka menzalimi diri sendiri seperti terlibat melakukan perbuatan yang dilarang agama dan mendatangkan malu.

Setiap orang tua mempunyai hasrat agar anak-anaknya bakal menyambung kelangsungan kehidupan yang mereka jalani sebelumnya. Mereka mahu hidup anak-anak lebih baik daripada keadaan kehidupan mereka dahulu, baik dari segi ketaatan beragama, akhlak, pelajaran, mahupun kerjaya. Apabila semua impian menjadi realiti, ketika itu terubatlah penat lelah keduanya dan bercucuranlah air mata gembira tanda syukur atas nikmat dan pemberian ILAHI.

Sebagai tanda cinta dan kasih kepada insan yang bergelar ibu dan ayah, marilah sama-sama berbakti kepada keduanya, mengasihi mereka dan mentaati selagi tidak membawa kepada unsur-unsur maksiat. Seandainya mereka telah meninggal dunia marilah kita angkat darjat keduanya dengan memperbanyak sedekah Al-Fatihah, doa dan amal soleh.

Marilah bermohon, “Ya Tuhan ku kasihanilah kedua orang tua ku sebagaimana mereka mengasihi ku sewaktu aku masih kecil." (Rabbirhamhuma kama rabbayanishaghira).”