$entry.content.caption.value
Dalam mengelolakan ruangan soal jawab zakat di media massa, antara persoalan yang perlu saya kupas demi kebaikan semua orang ialah, mengenai pelarasan zakat dan cukai yang akan dinikmati seseorang individu Muslim yang menunaikan zakat. Soalannya mudah sahaja, misalnya sejauh manakah seseorang itu berhak mendapat rebat atau pengurangan cukai implikasi zakat yang ditunaikan? Sebahagian daripada jumlah cukai atau sepenuhnya atau ada peratusan tertentu yang layak? Bagaimana pula mekanisme pelarasan dilaksanakan? Apakah pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengiktiraf pelarasan ini dan bagaimana mereka tahu seseorang itu sudah berzakat? Berapa tahun ke belakangkah atau tempoh masa yang diizinkan? Banyak lagi soalan yang konotasinya hanya satu: Saya menginginkan rebat ke atas cukai saya hasil zakat yang saya lunaskan.
Sebelum saya mengupas isu ini secara lebih rinci, berikut dipaparkan petikan Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3):
“Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit dikeluarkan pihak berkuasa agama berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.”
Selanjutnya sejauh manakah seseorang berhak mendapatkan rebat ke atas cukainya? Dalam hal ini, sesuatu yang wajib diketahui ialah, pembayaran zakat hanya diberikan rebat oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar dalam tahun taksiran cukai pendapatan. Ia bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2009, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja. Tiada istilah boleh patah-balik (back-ward) bagi mengira zakat yang telah dilunasi pada tahun-tahun terdahulu. Oleh itu, apa yang penting ialah tarikh zakat dibayar; bukannya tarikh haul. Jika tarikh haul seseorang sudah berlalu, katakanlah seseorang itu membayar zakat bagi haul tahun 2008 (dalam tahun 2009), maka di atas resit akan tertulis ‘haul zakat 2008’; namun ia sebenarnya hanya akan dikira untuk rebat pada 2009 sahaja.
Seterusnya, berapakah jumlah yang diizinkan oleh pihak LHDN untuk dibuat potongan atau rebat? Menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak disebutkan jumlah amaun yang tertentu atau batas amaun yang tertentu. Ini bermakna, selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib di sisi agama – dalam konteks ini ialah zakat – maka ia masih dikira valid untuk memperoleh rebat ke atas cukai. Jelasnya, tiada sebarang limitasi ke atas pembayaran zakat ini.
Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja (atau 1/40), maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu lebih besar berbanding apa diisytiharkan dalam borang taksiran cukai (BE).
Maka, di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijaksana menggunakan keluwesan akta yang meletakkan ‘bayaran wajib’ bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja. Mereka boleh misalnya menunaikan zakat harta lain seperti emas, saham, wang simpanan, KWSP, hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi ‘potongan zakat pendapatan’ semasa dan ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka untuk memperoleh rebat ke atas cukai pendapatan mereka.
Di samping itu, apabila seseorang itu sudah menunaikan kewajipan zakat maka mereka harus menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat. Ini adalah bukti yang wajib dikemukakan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah, kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan.
Sekarang, mari kita lihat pula apakah kesan pelarasan zakat dan cukai, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB). Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuat kuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, maka majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut. Keputusan ini memberikan implikasi yang sangat besar kepada amalan zakat di Malaysia, kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat, khususnya menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, maka mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.
Lebih menarik, dalam kes Contoh 2 di atas, lebihan zakat (SPG) sebanyak RM40 berhak untuk dibawa ke bulan hadapan. Walau bagaimanapun, pelarasan sedemikian hanyalah tertakluk kepada tahun semasa sahaja, yakni tidak boleh dibawa sehingga melewati ke tahun berikutnya.
Dalam kes pelarasan di antara SPG dan PCB ini, pekerja Muslim sebenarnya berhak memohon pelarasan agar dilakukan pihak majikan mereka, sama ada majikan awam ataupun swasta. Namun, ia masih tertakluk kepada kesediaan majikan itu sendiri. Perlaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka, kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperoleh pelarasan di antara cukai dan zakat daripada LHDN.
Untuk kemudahan semua pihak, institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga membina gerbang khas bagi semua pembayar zakat dan juga majikan yang menjalankan pembayaran zakat termasuklah melalui potongan gaji ini, bagi tujuan semakan dan sebagainya. Hanya klik di www.e-zakat.com.my/ (klik banner e-zakat pay dan seterusnya klik sama ada e-majikan atau e-zakatonline) bagi memperoleh perkhidmatan berkenaan.
Kesimpulannya, pindaan pelarasan di atas hakikatnya adalah satu rahmat kepada orang Islam, khususnya mereka yang memang terlibat dengan cukai pendapatan. Ini kerana, ia memberikan lebih keluwesan kepada umat Islam dalam mematuhi peraturan agama Islam, iaitu berzakat. Apa yang lebih penting, pematuhan syariat ALLAH SWT akan terlaksana tanpa perlu menidakkan undang-undang negara. Inilah namanya, syariat ALLAH dijunjung, undang-undang negara dikelek, sama-sama beroleh untung, demi menjadi warga negara yang baik.
Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)




