$entry.content.caption.value
Desas-desus tarikh sebenar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) terus rancak diperdebatkan dalam kalangan peminat arena politik di negara ini.
Ada di antaranya, berpendapat PRU13 akan berlaku pada Januari atau Februari 2012, namun ternyata tekaan tu meleset sama sekali sehingga timbul pula tekaan bahawa pada bulan Mei atau Jun, 2012.
Terbaru, analisis Dr Aminuddin Mansor dalam Sinar Harian, menjangkakan pilihan raya yang ditunggu-tunggu semua pihak ini, akan berlaku pada Jun ini atau tarikh yang lebih tepat pada 26 Mei hingga 1 Jun, sempena cuti sekolah.
Secara logiknya, cuti selama 16 hari ini, adalah waktu sesuai untuk proses pilihan raya dijalankan kerana memudahkan untuk semua pihak termasuk parti politik berkempen dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menggunakan sekolah sebagai tempat mengundi.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor menegaskan hanya akan menyertai PRU13 sekiranya diadakan selepas enam bulan pertama tahun 2012.
Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menyertai PRU13 sekiranya diadakan dalam bulan Jun, Julai, Ogos dan seterusnya.
Menurutnya, penetapan tempoh enam bulan ini adalah bagi memastikan pelaksanaan Bajet 2012, tidak terjejas dan hasil ekonomi negeri dapat disalurkan kepada rakyat.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, Negeri Selangor berkemungkinan akan menyertai PRU13 jika diadakan pada bulan Mei atau Jun.
Menurutnya, terdapat peratusan tinggi bagi Kerajaan Negeri memutuskan untuk menyertai pilihan raya dalam tarikh berkenaan berdasarkan kenyataan menteri besar sebelum ini.
Namun, beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor, menyarankan Kerajaan Negeri agar menangguhkan niat tersebut sehingga bulan November 2012 hingga Mac 2013, bagi melengkapkan tempoh lima tahun mentadbir Negeri Selangor.
“Penangguhan ini penting bagi memastikan segala rancangan bagi memastikan hasil ekonomi negeri dapat disalurkan kepada semua rakyat.
“Selain itu, kita juga mahu memastikan senarai daftar pemilih yang sehingga kini masih diragui, benar-benar bersih dari sebarang penipuan,” katanya.
Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari ketika dihubungi Sinar Harian pula memberitahu, keputusan menyertai PRU13 masih tertakluk kepada keputusan menteri besar.
Isu tarikh PRU13 ini semakin kuat, apabila Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang memberi bayangan bahawa Parlimen mungkin dibubarkan awal Mei depan bagi membolehkan PRU13 diadakan dalam tempoh 60 hari.
Manakala, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dijangka akan mengemukakan semua cadangan kepada Dewan Rakyat untuk dilaksanakan oleh SPR pada April depan.
Tempoh masa April hingga penghujung Mei, adalah mencukupi untuk mempraktikkan kesemua cadangan PSC, sebelum bermulanya tempoh proses pilihan raya.
Oleh yang demikian, tarikh PRU13 pada Jun adalah relevan untuk difikirkan, namun keputusan tersebut masih tertakluk kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukannya.
Sama ada Negeri Selangor akan menyertai pilihan raya terpenting dalam sejarah negara ini, terpulang kepada pertimbangan kerajaan pimpinan PR itu, yang pasti PRU13 pasti akan berlaku.
Pastinya, Abdul Khalid bersama barisan Exconya telah berfikir panjang baik buruk untuk tidak menyertai PRU13 dan membuat pilihan raya berasingan atau sebaliknya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.




